16/06/2026 10:47 AM

Mangsa Banjir Di Perak Berkurang Kepada 71 Orang Pagi Ini

IPOH, 16 Jun (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Perak berkurang kepada 71 orang daripada 27 keluarga pagi ini, berbanding 92 orang daripada 33 keluarga malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataan memaklumkan mangsa berlindung di dua PPS yang dibuka di daerah terjejas, iaitu Larut Matang dan Selama serta Manjung. 

“PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Hampar di daerah Larut Matang dan Selama menurun kepada 20 mangsa daripada lapan keluarga susulan banjir melibatkan Kampung Batu 25, Kampung Berjaya, Kampung Batu 23 dan Sungai Rotan.

“PPS SK Beruas dalam daerah Manjung merekodkan 51 mangsa daripada 19 keluarga membabitkan kawasan banjir di Kampung Kilang, Taman Anggerik Permai dan Kampung Pulau Kabung,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia menjangkakan hujan dan ribut pada petang ini melibatkan Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Muallim dan Batang Padang. 

-- BERNAMA