16/06/2026 01:15 PM

KPDN Serbu Kilang Proses Makanan Haiwan Simpan Tepung Gandum Tanpa Kebenaran

BALING, 16 Jun (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah menyerbu sebuah kilang memproses makanan haiwan disyaki menyimpan tepung gandum tanpa kebenaran di Kawasan Perindustrian Kuala Ketil dekat sini semalam.

Pengarah KPDN Kedah Muhammad Nizam Jamaludin berkata serbuan dilakukan oleh empat anggota Penguat Kuasa KPDN Baling pada 4.30 petang.

“Hasil pemeriksaan telah membawa kepada penemuan sejumlah tepung gandum dipercayai digunakan untuk tujuan memproses makanan haiwan keluaran syarikat itu.

“Pasukan serbuan telah menyita 53,325 kilogram tepung gandum untuk siasatan lanjut dengan jumlah sitaan keseluruhan dianggarkan bernilai RM100,251,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata seorang lelaki warga tempatan berusia 25 tahun yang mengaku sebagai pengurus premis itu gagal mengemukakan permit atau kebenaran Pengawal Bekalan bagi tujuan menyimpan tepung gandum berkenaan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122),” katanya.

-- BERNAMA