Persiapan Acara Olahraga SUKMA 2026 Lancar
SERDANG, 14 Jun (Bernama) -- Persiapan acara olahraga bagi Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 berada pada landasan tepat dengan semua aspek teknikal dan pengurusan berjalan lancar, kata Presiden Persatuan Olahraga Selangor (POS) Norhayati Karim.
Beliau berkata venue pertandingan di Universiti Putra Malaysia (UPM) serta pasukan teknikal yang terlibat dalam penganjuran kini berada dalam keadaan bersedia menjelang temasya berkenaan.
“Kita mengikut perancangan telah ditetapkan dan persiapan berjalan lancar. Pasukan teknikal serta tenaga kerja yang terlibat juga sudah bersedia,” katanya selepas mesyuarat POS di sini hari ini.
Beliau berkata acara olahraga pada SUKMA 2026 akan diadakan pada sesi pagi dan petang sahaja, berbanding cadangan awal untuk turut menganjurkan pertandingan pada sebelah malam.
“Pada peringkat awal kita ada merancang untuk mengadakan pertandingan siang dan malam, namun berdasarkan beberapa pertimbangan semasa, kita melihat format pagi dan petang adalah lebih sesuai,” katanya.
Sementara itu, mengenai persiapan skuad olahraga tuan rumah, Norhayati berkata atlet kini giat menjalani latihan dan akan menyertai Kejohanan Terbuka Malaysia sebagai platform penilaian prestasi sebelum memuktamadkan senarai ke temasya dwitahunan kebangsaan itu pada Julai ini.
“Kita akan menghantar kontinjen yang besar ke Terbuka Malaysia. Ia merupakan platform penting untuk menilai semula tahap kesiapsiagaan atlet sebelum SUKMA,” katanya.
-- BERNAMA
Berita terkini
- Presiden Timor-Leste Berlepas Pulang, Akhiri Lawatan Khas Lima Hari Ke Malaysia
- Bersatu Kekal Dalam PN, Guna Logo Pada PRN Johor Dan Negeri Sembilan - Muhyiddin
- Malaysia, Uzbekistan Teroka Peluang Perluas Kerjasama Dalam Sektor Strategik - PM
- Visa AS Pemain Bola Sepak Iran Tamat Tempoh Selepas Penampilan Pertama Piala Dunia
- TPM, Menteri Kabinet Seru Rakyat Hayati Semangat Hijrah