Bernama Rangkul Enam Anugerah Utama, Tujuh Merit Pada Kinabalu Press Awards 2026
KOTA KINABALU, 13 Jun (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Biro Sabah merangkul enam anugerah utama dan tujuh merit pada Kinabalu Press Award 2026 di sini malam ini.
Anugerah tahunan berprestij itu yang mempertandingkan 26 kategori, mencatat sejarah tersendiri tahun ini dengan menerima rekod tertinggi sebanyak 354 penyertaan berbanding 268 tahun lepas.
Ketua Biro Sabah Fadzli Ramli memenangi Anugerah Utama bagi kategori Pelaporan Berita (Bahasa Melayu) menerusi laporannya mengenai media sosial dan kecerdasan buatan (AI) mendominasi Pilihan Raya Negeri Sabah tahun lepas.
Fadzli bersama-sama jurugambar Arjasneh Ahmad dan jurukamera sambilan Bernama TV Ahmad Jimmy turut memenangi Anugerah Utama bagi kategori Anugerah Kewartawanan Bahasa Inggeris (Rencana dan Berita Rencana) menerusi laporan khas yang mengetengahkan konflik antara manusia dan gajah Borneo di Sabah.
Wartawan Noorazlina Jindeh turut meraih dua anugerah utama iaitu Anugerah Pelaporan Hiburan (Bahasa Melayu) menerusi laporannya tentang sebuah gong berusia 100 tahun serta Anugerah Pelaporan Perniagaan dan Ekonomi (Bahasa Melayu) bagi laporan berkaitan pembangunan ekonomi di Semporna.
Arjasneh turut merangkul Anugerah Utama bagi kategori baharu Anugerah Fotografi Hiburan, Budaya dan Seni menerusi gambar Merdeka 2025 manakala wartawan veteran Datuk Emin Madi memenangi hadiah utama dalam kategori Anugerah Kewartawanan Alam Sekitar (Bahasa Inggeris) menerusi rencana berkaitan pemulihan hutan di negeri itu.
Di samping kemenangan utama itu, Bernama turut membolot tujuh Anugerah Merit dengan wartawan Rohana Nasrah membawa pulang tiga anugerah itu menerusi kategori Anugerah Pelaporan Perniagaan & Ekonomi (Bahasa Melayu), Anugerah Kewartawanan Alam Sekitar (Bahasa Melayu) serta Anugerah Kewartawanan (Rencana dan Berita Rencana - Bahasa Melayu)
Noorazlina turut meraih dua Anugerah Merit iaitu bagi kategori Anugerah Kewartawanan Alam Sekitar (Bahasa Melayu) dan Anugerah Kewartawanan Sukan (Bahasa Inggeris).
Sementara itu, Arjasneh menerima Anugerah Merit bagi kategori Anugerah Gambar Terbaik manakala Fadzli bagi kategori Anugerah Kewartawanan (Rencana dan Berita Rencana - Bahasa Melayu).
Majlis anugerah berkenaan yang dianjurkan Persatuan Wartawan Sabah (SJA) diserikan dengan kehadiran Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Joniston Bangkuai mewakili Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.
Pemenang kategori Anugerah Kewartawanan Bahasa Inggeris (Rencana dan Berita Rencana) membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 berserta sijil penghargaan manakala pemenang kategori Pelaporan Berita (Bahasa Melayu), Pelaporan Perniagaan dan Ekonomi (Bahasa Melayu) serta Kewartawanan Alam Sekitar (Bahasa Inggeris) masing-masing membawa pulang RM2,500 berserta sijil penghargaan.
Bagi kategori Anugerah Pelaporan Hiburan (Bahasa Melayu) serta Anugerah Fotografi Hiburan, Budaya dan Seni yang baharu diperkenalkan, pemenang Anugerah Utama menerima RM1,500 berserta sijil penghargaan manakala kesemua pemenang Anugerah Merit menerima RM500 berserta sijil penghargaan.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Bernama Menang Lima Anugerah Media Kelantan 2025 Sempena HAWANA
- Bernama Rangkul Enam Anugerah Utama, Tujuh Merit Pada Kinabalu Press Awards 2026
- BN Guna Logo Dacing Pada PRN Johor Dan Negeri Sembilan - Zambry
- Kerjasama Erat Kerajaan Persekutuan, Negeri Pastikan Sabah Terus Maju - PM
- PH Kekalkan Arthur Chiong Untuk Pertahan DUN Bukit Batu