Oleh Mohd Afiq Zulkifli
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Penyanyi dan pelakon Bella Astillah membuat kejutan istimewa buat suaminya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, apabila mendendangkan sebuah lagu yang digubah khas pada resepsi bersempena dengan perkahwinan mereka, di sini malam tadi.
Pemilik nama sebenar Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 32, berkata lagu berjudul Bersama Aku Setia Selamanya itu yang dihasilkan dengan bantuan penyanyi dan komposer Hael Husaini, mengisahkan perjalanan hubungan beliau dengan suaminya.
“Saya nervous (gementar) sangat, ini first time (kali pertama) nyanyi lagu ini. Dan sebenarnya penghasilan lagu ini juga dibuat dalam masa yang agak singkat… terima kasih buat Hael, sebab beliau banyak membantu saya dari segi lirik.
“Malah, ketika proses rakaman, tiga kali kami ke studio dan beliau datang setiap sesi itu,” katanya pada sidang media selepas majlis berkenaan yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.
Berkongsi lanjut, Bella berkata lagu itu juga akan dilancarkan secara rasmi tidak lama lagi.
Sementara itu, Syed Saddiq, 34, mengakui tersentuh dengan kejutan yang dilakukan oleh isterinya.
“Meltinglah (tersentuhlah) apa lagi… Dahlah kali pertama dengar,” kata Ahli Parlimen Muar itu, apabila ditanya tentang perasaannya ketika menyaksikan persembahan Bella.
Berkongsi kehidupan selepas seminggu bergelar suami isteri, Bella berkata beliau masih menyesuaikan diri dengan rutin baharu selepas beliau dan dua anaknya, Mohamad Aydeh Adrean, 9 dan Ara Adreanna, 6, berpindah ke kediaman Syed Saddiq.
Menurutnya, antara perkara terawal yang dipelajari ialah sikap sederhana suaminya termasuk dalam soal sarapan pagi apabila Syed Saddiq lebih gemar menikmati makanan ringkas seperti bijirin dan sekali-sekala pankek pada hujung minggu.
Dalam pada itu, Syed Saddiq menerusi ucapan pada majlis berkenaan menangkis tanggapan segelintir pihak yang menganggap beliau dan isteri sebagai tidak sekufu, kerana katanya, Bella adalah wanita luar biasa yang banyak berkorban untuk keluarga sejak kecil.
“Tanggapan bahawa Bella memerlukan tempat bergantung adalah tidak benar, kerana realitinya saya bukan dahan untuk dia bergantung. Bella bergantung pada diri sendiri. Dia seorang yang berdikari, kuat dan cekal,” ulas Syed Saddiq pada sidang media kemudian.
Bella pula mengakui terharu dengan kenyataan suaminya itu, selain melahirkan rasa syukur kerana Syed Saddiq menerima dan menyayangi kedua-dua anaknya dengan ikhlas.
Mengenai perancangan bulan madu, Syed Saddiq berkata mereka hanya akan berbuat demikian selepas sidang Parlimen yang sedang berlangsung ditangguhkan pada Disember ini.
Pasangan berkenaan diijabkabulkan pada 10 Okt lepas di Menara Merdeka 118 dan dijadual meneruskan sambutan perkahwinan menerusi Kenduri Rakyat di Muar, Johor pada 25 Okt ini, diikuti Kota Kinabalu, Sabah pada 31 Okt.
-- BERNAMA