KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Projek perumahan Residensi Hektar Gombak (Residensi Wilayah) di Jalan Gombak mencatatkan kemajuan fizikal 92.67 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama 2027 hasil intervensi berterusan Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST).
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata penyerahan milikan kosong (VP) kepada pembeli dijadualkan pada suku kedua tahun depan.
Beliau berkata projek itu terhenti sejak Disember 2022 sebelum kerja-kerja pembinaan disambung semula pada 21 Sept 2025 hasil bantuan dan intervensi pihak berkaitan.
“Daripada situ, kami akan cuba bantu pastikan pihak pemaju dapat siapkan, dapat Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) pada suku pertama 2027, dan serahan pemilikan kosong kepada para pembeli pada suku kedua,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke tapak projek berkenaan di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Aiman Athirah berkata pemantauan terkini merekodkan 128 projek perumahan berstatus lewat, melibatkan 29,048 unit dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM24.39 bilion manakala 278 projek berstatus sakit melibatkan 40,818 unit dengan GDV RM38.02 bilion.
Bagi projek terbengkalai, sebanyak 99 projek berlesen dikenal pasti melibatkan 28,289 unit dengan GDV RM15.40 bilion manakala 163 projek tanpa lesen melibatkan 10,605 unit.
Beliau berkata sebanyak 33 lawatan kerja ke projek berstatus lewat dan sakit dilaksanakan sehingga Ogos 2026, dengan 23 projek berjaya memperoleh CCC hasil intervensi dan penyelarasan tindakan susulan.
Mengulas aduan mengenai tindakan sesetengah pembeli menyewakan unit kediaman kepada warga asing, Aiman Athirah menasihatkan orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) atau Jabatan Perumahan Negara (JPN) bagi membolehkan pemantauan dan siasatan lanjut dijalankan.
“Mereka boleh laporkan kepada pihak berkuasa tempatan dan JPN supaya kami boleh turun padang, insya-Allah,” katanya.
-- BERNAMA