Am 18/10/2026 07:54 PM

Pelajar Lepasan YIK Di Arab Saudi Selamat, Ikuti Pengajian Seperti Biasa

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pelajar Lepasan YIK Di Arab Saudi Selamat, Ikuti Pengajian Seperti Biasa
fb Dato' Wan Roslan Wan Hamat

KOTA BHARU, 18 Okt (Bernama) -- Semua pelajar lepasan Yayasan Islam Kelantan (YIK) yang sedang melanjutkan pengajian di Arab Saudi dilaporkan selamat dan mengikuti pengajian seperti biasa meskipun situasi geopolitik di Asia Barat masih tegang.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata pihaknya sentiasa memantau keadaan pelajar berkenaan serta menasihatkan mereka supaya terus berhubung dengan pihak kedutaan bagi memastikan keselamatan masing-masing.

Beliau berkata setakat ini, lebih 1,000 pelajar lepasan YIK melanjutkan pengajian antaranya di Arab Saudi, Jordan, Yaman dan Mesir dengan tiga pegawai kebajikan ditempatkan di sana bagi memantau keselamatan mereka.

“Kita juga sentiasa berhubung dengan pelajar secara dalam talian untuk mengikuti perkembangan semasa. Setakat ini, semua sesi pengajian diteruskan seperti biasa dan keadaan terkawal,” katanya pada sidang media di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan sebanyak 19 orang maut manakala 364 lagi cedera dalam serangan kumpulan Houthi Yaman ke atas lapangan terbang di Arab Saudi, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh dan Lapangan Terbang Antarabangsa Abha.

-- BERNAMA