Am 18/10/2026 03:01 PM

Pengiktirafan UNESCO Tidak Jamin Silat Terus Diwarisi - Saarani

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pengiktirafan UNESCO Tidak Jamin Silat Terus Diwarisi - Saarani
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Datuk Khairudin Abu Hanipah (tiga kanan) menyampaikan plak cenderahati kepada guru silat yang hadir pada Program Gema Warisan Rakan Muda X Himpunan Mahabbah Pendekar Negeri Perak Tahun 2026. Turut sama Presiden Pertubuhan Seni Gayong Serantau Malaysia (PSGSM) Cawangan Negeri Perak Hasnul Fairuz Hushin Amri (dua kanan). --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

IPOH, 18 Okt (Bernama) -- Pengiktirafan seni silat sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) tidak menjamin kelangsungan warisan itu sekiranya generasi muda semakin menjauhkan diri dari gelanggang persilatan.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata ilmu yang dimiliki guru-guru tua dan mahaguru perlu terus diperturunkan kepada generasi seterusnya bagi memastikan seni persilatan kekal hidup dan diamalkan.

“Jika anak-anak muda semakin jauh dari gelanggang, kita mungkin mempunyai sejarah persilatan yang cukup membanggakan, tetapi semakin kurang generasi yang benar-benar menguasai dan menghayati ilmu tersebut,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Datuk Khairudin Abu Hanipah pada perasmian Gema Warisan Rakan Muda X Himpunan Mahabbah Pendekar Negeri Perak Tahun 2026 di sini, hari ini.

Beliau berkata silat diisytiharkan sebagai Warisan Kebangsaan pada 2009 sebelum diiktiraf UNESCO sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan pada 2019 dan negara ini mempunyai lebih 150 gaya silat yang dikenal pasti.

Saarani berkata usaha memastikan kelangsungan seni persilatan perlu diperkukuh dengan menggalakkan penglibatan generasi muda dalam mempelajari dan menghayati warisan berkenaan.

“Melalui latihan yang teratur, mereka dapat membina disiplin, keyakinan diri, ketahanan mental serta rasa hormat kepada orang lain. Pembentukan sahsiah sedemikian selari dengan hasrat Perak Sejahtera 2030 untuk membangunkan modal insan dan belia yang berkualiti,” katanya.

Beliau turut mengingatkan supaya perbezaan aliran, adat berguru dan cara berlatih antara perguruan tidak menjadi punca perpecahan, sebaliknya diraikan dengan semangat saling menghormati dan menjaga persaudaraan.

“Hubungan antara perguruan perlu terus dipelihara bagi memastikan seni persilatan kekal menjadi wadah penyatuan masyarakat, selain mendekatkan generasi muda dengan sejarah dan budaya bangsa,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap himpunan itu menjadi pemangkin kepada usaha menghidupkan gelanggang, membimbing pesilat muda dan mengeratkan hubungan antara perguruan bagi memastikan warisan persilatan terus dipelihara untuk generasi akan datang.

-- BERNAMA