Am 18/10/2026 12:51 PM

Caruman Silam PERKESO Bantu Salinah ‘Bangkit’ Selepas Lima Tahun Berkerusi Roda

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Caruman Silam PERKESO Bantu Salinah ‘Bangkit’ Selepas Lima Tahun Berkerusi Roda
Tukang urut profesional, Salinah Osman, 58, menjalani sesi fisioterapi intensif di Pusat Rehabilitasi PERKESO Sultan Nazrin Shah di sini. Salinah pernah mengalami serangan strok pada 2021 yang menyebabkan beliau lumpuh dan terpaksa bergantung kepada kerusi roda selama lima tahun. Namun, caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sewaktu bekerja di kilang 20 tahun lalu menjadi penyelamat dan melayakkannya menerima Pencen Ilat serta rawatan rehabilitasi intensif percuma di Pusat Rehabilitasi PERKESO Sultan Nazrin Shah, Ipoh. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

Oleh Syamsiah Sahat

IPOH, 18 Okt (Bernama) -- Selama bertahun-tahun, tangan Salinah Osman menjadi sumber rezeki apabila kemahirannya sebagai tukang urut profesional membantu memberi kelegaan dan kesegaran kepada ratusan pelanggan.

Namun, serangan strok kali kedua pada suatu pagi sekitar 2021 mengubah segala-galanya apabila tangan kanannya menjadi lemah dan kedua-dua kaki hilang kekuatan, sekali gus meragut keupayaannya untuk bekerja serta menjalani kehidupan seperti biasa.

Salinah, 58, dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang mengusahakan perniagaan spa dari rumah masih mengingati detik ketika mahu bangun dari tempat duduk, namun kedua-dua kakinya tiba-tiba ‘longlai’ manakala tangan kanannya tidak lagi mampu digerakkan seperti biasa.

Berbeza dengan serangan strok pertama kira-kira dua dekad lepas yang masih memberinya ruang untuk bangkit, serangan kali kedua menyebabkan Salinah bergantung kepada kerusi roda selama hampir lima tahun, sekali gus menjejaskan mata pencarian serta membataskan penglibatannya dalam aktiviti kesukarelawanan dan kemasyarakatan yang sebelum ini menjadi sebahagian daripada kehidupan.

“Ujian itu berat untuk saya. Apabila kita tak boleh pergi buat kerja amal, tengok kawan-kawan pergi... memang sedih, sejak itu juga saya bergantung pada suami (Md Rasid Mehat,66,) menguruskan saya, apatah lagi saya menghadapi penyakit lain seperti lemah jantung dan asma kronik,” katanya kepada Bernama.

Namun, ibu kepada dua cahaya mata itu tidak membiarkan kerusi roda menjadi noktah kepada kehidupannya dan terus berikhtiar mendapatkan rawatan termasuk secara tradisional serta di hospital.

Harapan baharu muncul apabila Salinah mendapat tahu mengenai kemudahan pemulihan untuk pesakit strok yang disediakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), lalu mengemukakan permohonan untuk mendapatkan rawatan.

Caruman yang pernah dibuat ketika bekerja di sebuah kilang lebih 20 tahun lepas, membuka jalan kepadanya untuk mendapatkan rawatan pemulihan, meskipun sudah lama meninggalkan sektor perkilangan dan berdikari sebagai tukang urut.

Pada April lepas, Salinah ditawarkan mengikuti program rehabilitasi intensif di Pusat Rehabilitasi PERKESO Sultan Nazrin Shah di Meru, di sini dengan keseluruhan kos rawatan ditanggung PERKESO.

Sepanjang hampir empat bulan menjalani pemulihan dan ditempatkan di wad, Salinah mengikuti pelbagai latihan dengan bantuan peralatan rehabilitasi serta mendapat sokongan pengurus kes (CM), pegawai perubatan dan kakitangan pusat berkenaan.

“Dengan semangat ingin kembali bangkit seperti dahulu, saya kuatkan semangat, latihan berjam-jam sehari dengan penyakit asma mula-mula masuk, terfikir juga... mampukah aku? Namun bila mana satu hari, tangan saya mula boleh digerakkan dan kaki mula terasa semula, saya yakin saya mampu dan saya akan pulih di sini,” katanya yang turut menerima pencen ilat dari PERKESO sejak Nov 2006 bermula dari RM269 sebulan, kini meningkat kepada RM573.69 sebulan.

Katanya, pada bulan-bulan terakhir rawatan, dia mula mampu menapak tanpa kerusi roda dan berjalan menggunakan tongkat, selain mengikuti kursus latihan rangkaian komputer bagi membantunya menambah baik perniagaan selepas pulih.

Pada 3 Sept lepas, Salinah dibenarkan pulang dan seminggu kemudian, dia akhirnya mampu mengetepikan tongkat serta kembali berjalan tanpa alat bantuan.

Selepas hampir lima tahun bergantung kepada kerusi roda, Salinah kini kembali berdikari dan sedang mengumpul modal untuk membina semula perniagaan urutannya, selain berhasrat kembali aktif dalam kegiatan kemasyarakatan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dalam kenyataan kepada Bernama berkata Pusat Rehabilitasi PERKESO menyediakan program pemulihan strok secara komprehensif, holistik dan bersepadu menerusi pendekatan multidisiplin yang menggabungkan kepakaran klinikal, terapi pemulihan serta teknologi rehabilitasi canggih.

Beliau berkata pusat itu terbuka kepada semua lapisan masyarakat yang memerlukan rawatan rehabilitasi strok dan tidak terhad kepada pencarum PERKESO.

"Bagi Orang Berinsurans PERKESO (OB) yang memenuhi syarat kelayakan ditetapkan, kos rawatan rehabilitasi akan ditanggung sepenuhnya oleh PERKESO, tertakluk kepada penilaian dan kesesuaian pesakit untuk menjalani program rehabilitasi. Bagi individu tidak memenuhi syarat kelayakan penerimaan faedah PERKESO, mereka masih boleh mendapatkan rawatan sama di pusat ini melalui pembiayaan sendiri, juga tertakluk kepada penilaian dan kesesuaian pesakit," katanya.

Menurut Mohammed Azman, kos rawatan rehabilitasi strok adalah berbeza mengikut keadaan dan tahap kefungsian pesakit, kerana setiap pesakit mempunyai tahap keupayaan, limitasi serta keperluan rehabilitasi berbeza, sekali gus memerlukan jenis intervensi, modaliti rawatan dan tempoh rehabilitasi bersesuaian berdasarkan hasil penilaian klinikal.

Mohammed Azman berkata antara program utama ditawarkan termasuk Fisioterapi, Terapi Cara Kerja, Hidroterapi, Rehabilitasi Neuro-Robotik, Terapi Pertuturan dan Menelan, Rehabilitasi Kognitif dan Psikologi, Rehabilitasi Vokasional serta Program Kembali Bekerja (Return to Work – RTW), di samping perkhidmatan klinikal khusus bagi menangani komplikasi strok seperti pengurusan spastik dan Program Neuromodulasi.

Pusat rehabilitasi turut dilengkapi peralatan berteknologi tinggi seperti Cyberdyne Hybrid Assistive Limb (HAL), Luna EMG, Vibramoov, MetaMotus™ Galileo Biomechanics Analysis & Rehabilitation Platform, Brain-Computer Interface (BCI), Neuromodulasi Otak (rTMS dan tDCS) serta NESA bagi mempercepatkan proses pemulihan pesakit.

Mengenai perlindungan jangka panjang, beliau berkata PERKESO sentiasa menerapkan pendekatan pencegahan, pemulihan dan pampasan faedah dan mengambil maklum peningkatan kes strok dalam kalangan golongan lebih muda seawal usia 20 hingga 29 tahun, PERKESO memperkasakan Program Saringan Kesihatan (HSP) sejak 2013 bagi mengesan risiko penyakit tidak berjangkit (NCD) lebih awal.

“Bagi pencarum PERKESO yang masih mengalami penyusutan keupayaan untuk bekerja akibat strok, mereka boleh dipertimbangkan untuk mendapat faedah di bawah Skim Keilatan PERKESO. Sekiranya disahkan mengalami keilatan oleh jemaah doktor PERKESO dan memenuhi syarat, pencarum layak menerima Pencen Ilat seumur hidup, Bantuan Ilat, Elaun Layanan Sentiasa, serta bantuan alat pemulihan untuk kelangsungan hidup pesakit dan keluarga.

-- BERNAMA