Am 18/10/2026 12:54 PM

Belanjawan 2027: Peruntukan Pertanian Perlu Diterjemah Kepada Jaminan Bekalan Makanan - Pakar

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Belanjawan 2027: Peruntukan Pertanian Perlu Diterjemah Kepada Jaminan Bekalan Makanan - Pakar
-- Gambar hiasan

Oleh Nur Nadzmi Nasirah

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Apa yang berlaku di sawah, ladang dan laut akan mempengaruhi meja makan rakyat, terutama apabila bekalan makanan berkurangan dan harga meningkat.

Justeru, peruntukan pertanian dalam Belanjawan 2027 perlu dilihat bukan sekadar sebagai bantuan kepada pesawah, penternak dan nelayan tetapi pelaburan untuk memastikan keterjaminan makanan, harga lebih stabil serta pengeluaran tempatan mampu memenuhi keperluan negara.

Ketua Laboratori Kajian Dasar Pertanian dan Makanan, Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS), Universiti Putra Malaysia Prof Dr Abdul Rahim Abdul Samad berkata tumpuan perlu diberikan kepada usaha meningkatkan produktiviti pengusaha serta mengurangkan kos pengeluaran supaya manfaatnya dapat dirasai sepanjang rantaian bekalan makanan.

Beliau berkata bantuan kos pengeluaran, pembangunan infrastruktur, kemudahan pembiayaan dan penerapan teknologi penting untuk memperkukuh subsektor tanaman, penternakan serta perikanan dan akuakultur.

“Daripada perspektif ekonomi, langkah ini mempunyai kepentingan yang melangkaui kebajikan pengeluar kerana prestasi sektor tanaman, penternakan serta perikanan dan akuakultur berkait secara langsung dengan kecukupan bekalan, kestabilan harga makanan dan kuasa beli isi rumah,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Abdul Rahim yang mengambil contoh bantuan RM2.62 bilion kepada pesawah, dengan anggaran manfaat sekitar RM4,300 sehektar berkata inisiatif itu dapat mengurangkan tekanan kos benih, baja, racun, pembajakan dan komponen sokongan harga padi.

Beliau berkata peningkatan insentif penuaian daripada RM50 kepada RM100 sehektar semusim, pengekalan insentif pembajakan RM300 yang diperluas kepada pesawah di Sabah dan Sarawak serta peruntukan RM20 juta bagi baja foliar di kawasan sawah melebihi 10,000 hektar turut menyokong usaha meningkatkan pengeluaran padi.

Menurut Abdul Rahim, usaha menaik taraf sistem pengairan di 15 blok sawah bagi menyokong pelaksanaan penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun, selain pemulihan Empangan Pedu yang dijangka siap pada penghujung 2027, adalah penting untuk meningkatkan daya tahan bekalan beras negara.

Sementara itu, beliau berkata subsektor penternakan turut mendapat sokongan menerusi peruntukan RM300 juta bagi projek agromakanan menerusi kerjasama Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, selain kemudahan pembiayaan melebihi RM1 bilion melalui Agrobank, Bank Rakyat dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia untuk usahawan tani.

Bagi subsektor perikanan dan akuakultur, peruntukan RM30 juta untuk meningkatkan jumlah pemegang Lesen Sampan Khas daripada 17,000 kepada 20,000 nelayan serta RM178 juta, antaranya bagi insentif hasil tangkapan dan Elaun Sara Hidup sehingga RM300 sebulan dapat menyokong pendapatan nelayan.

“Dalam keadaan kos operasi dan risiko cuaca yang tidak menentu, langkah ini dapat membantu menstabilkan aliran tunai nelayan kecil serta mengurangkan tekanan terhadap pendapatan isi rumah mereka,” katanya.

Abdul Rahim berkata keberkesanan keseluruhan peruntukan itu akhirnya perlu diukur bukan hanya melalui jumlah bantuan yang disalurkan tetapi berdasarkan peningkatan produktiviti, pendapatan bersih pengusaha dan kemampuan pengguna mendapatkan makanan pada harga berpatutan.

Beliau berkata pendekatan itu juga perlu mengambil kira risiko perubahan iklim dan keperluan meningkatkan pengeluaran makanan tempatan bagi mengurangkan kerentanan negara terhadap gangguan bekalan dari luar.

-- BERNAMA