Oleh Mohd Afiq Zulkifli
Bagi pemuzik Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan, aktiviti “busking” atau persembahan jalanan bukan sekadar ruang menyalurkan bakat, tetapi menjadi sumber pendapatan untuk menyara diri dan keluarga secara berdikari.
Namun begitu, di sebalik alunan muzik yang menghiburkan orang ramai, usaha mendapatkan ruang untuk melakukan persembahan, walaupun hanya di satu sudut kecil, semakin mencabar, sekali gus menghimpit mereka dalam ketidaktentuan pendapatan dan perjuangan mencari nafkah sepertimana disingkapkan dalam artikel kedua daripad laporan tiga bahagian ini.
KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Selama hampir lima tahun, stesen Transit Aliran Ringan (LRT) di sekitar ibu kota menjadi pentas utama yang mengisi periuk nasi Rodie Jainahum dan isterinya, juga OKU penglihatan, sebelum peluang membuat persembahan di lokasi itu tertutup pada 2022.
Bagi anak jati Semporna, Sabah itu, kehilangan ruang tersebut menjejaskan bukan hanya pendapatan bulanan hingga RM1,500 yang mereka peroleh sebelum ini, tetapi turut menyaksikan mereka bergelut mencari lokasi alternatif untuk meneruskan kelangsungan hidup keluarga.
"Dulu, dari Isnin sampai Sabtu memang abang bergantung persembahan di stesen LRT. Contohnya, stesen LRT Bangsar dekat sangat dari rumah, hanya berjalan kaki sahaja, dan yang penting kami tak kena hujan atau panas," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Rodie berkata peluang itu tertutup selepas akaunnya di aplikasi Buddey Talent, platform yang menghubungkan pemuzik jalanan dan penggiat seni persembahan untuk mendapatkan lokasi persembahan, digantung.
Tambahnya, dia berulang kali menghubungi pengendali platform bagi mendapatkan penjelasan, namun hingga hari ini tidak ada sebarang maklum balas diterima.
Kini, bapa kepada tiga anak itu hanya dapat membuat persembahan kira-kira tiga kali seminggu di dua restoran dan satu lokasi di Bangsar, yang menurutnya mendapat kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Tidak terhenti di situ, dia juga berdepan peningkatan kos pengangkutan kerana perlu mendapatkan perkhidmatan e-panggilan untuk ke lokasi bagi membawa peralatan muzik, sekali gus menghakis pendapatan yang tidak seberapa.
Walaupun OKU menikmati tambang percuma pengangkutan awam, kemudahan itu sukar dimanfaatkan Rodie kerana perlu membawa peralatan muzik seberat lebih 150 kilogram.
“Bagi OKU penglihatan, nak usung peralatan muzik berpuluh kilogram, keluar masuk stesen dan bertukar tren bukan mudah. Mahu tidak mahu, kami terpaksa gunakan e-hailing walaupun kosnya mencekik leher,” katanya, menambah kos pergi balik dari Bangsar ke Shah Alam boleh mencecah RM80 hingga RM100 sehari.
Akibatnya, daripada keseluruhan wang yang diperoleh sekitar RM1,500 sebulan termasuk bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450, hanya kira-kira RM400 berbaki selepas ditolak sewa rumah (RM200), kos e-panggilan (RM600) serta simpanan RM300 untuk penyelenggaraan peralatan muzik.
“Perkongsian abang ini bukan nak minta simpati sesiapa. Ini sahaja kerja yang abang minat dan mampu buat dari muda sampai ke tua. Walaupun baki bersih tinggal RM400 dan cabarannya makin berat, kena tebalkan muka dan teruskan juga demi kelangsungan hidup sekeluarga,” katanya.
Pengalaman Rodie mencerminkan cabaran lebih luas yang dihadapi pemuzik OKU penglihatan untuk mendapatkan ruang persembahan yang konsisten.
Justeru, golongan berkenaan menyandarkan sepenuh harapan pada usaha kerajaan dalam membuka lebih banyak peluang kepada mereka, khususnya bagi memudahkan mereka menjalankan aktiviti persembahan dan menjana pendapatan.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil sebelum ini dilaporkan berkata beliau akan berbincang dengan Ketua Setiausaha kementeriannya Datuk Abdul Halim Hamzah mengenai peluang yang boleh diberikan kepada golongan itu.
Antara perkara yang akan dibawa kepada perhatian kementerian dan agensi berkaitan, ialah usaha memudahkan permit atau kebenaran bagi pemuzik OKU penglihatan menjalankan aktiviti persembahan jalanan, karaoke dan nyanyian, selain permohonan serta pembiayaan dana.
Mengharapkan adanya hasil daripada usaha Kementerian Komunikasi, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) Datuk George Thomas berkata kesukaran mendapatkan akses kepada lokasi persembahan masih menjadi cabaran utama, walaupun proses mendapatkan permit daripada DBKL semakin mudah bagi pemuzik OKU penglihatan yang berdaftar dengan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan).
Beliau berkata lokasi persembahan yang sesuai dan berhampiran kediaman masih sukar diperoleh, sedangkan jarak perjalanan meningkatkan kos pengangkutan yang perlu ditanggung pemuzik.
“Busker OKU penglihatan yang membuat persembahan secara ad hoc mungkin tidak menikmati tahap konsistensi sama (dengan mereka yang dapat persembahan tetap) dalam mendapatkan ruang persembahan. MAB sedang berusaha menangani jurang ini agar peluang persembahan dapat diselaraskan secara lebih sistematik dan inklusif,” katanya.
Beliau berkata MAB akan terus bertindak sebagai pengantara antara agensi kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pemegang lesen, selain memperluas kerjasama dengan PBT bagi membantu menyediakan peluang persembahan yang lebih mudah diakses dan konsisten untuk pemuzik OKU penglihatan.
Sementara itu, Presiden Karyawan Datuk Freddie Fernandez berkata persatuan tersebut bekerjasama dengan DBKL bagi membantu pemuzik jalanan OKU penglihatan mendapatkan permit dan lokasi persembahan, termasuk memberi kelonggaran kepada mereka untuk menyanyi menggunakan muzik iringan rakaman tanpa perlu memainkan alat muzik sendiri.
Beliau berkata Karyawan turut mengadakan dialog dengan DBKL dan MAB bagi membantu golongan berkenaan yang menjadikan persembahan jalanan sebagai sumber pendapatan, selain menawarkan keahlian percuma kepada mereka. Kira-kira 70 pemuzik jalanan OKU penglihatan berdaftar dengan persatuan itu setakat ini.
Mengulas kos pengangkutan, Freddie berkata penggunaan perkhidmatan e-panggilan untuk ke lokasi persembahan yang jauh boleh menjejaskan pendapatan pemuzik jalanan OKU penglihatan, namun perkara itu belum dibawa kepada perhatian Karyawan.
-- BERNAMA