Oleh Noor Bakthtiar Ahmad
KYIV, 17 Okt (Bernama) -- Pada awal Julai, saya menerima undangan untuk menyertai lawatan media ke Kyiv anjuran Kementerian Luar Ukraine di bawah Strategi Komunikasi “Ukraine - Negara-negara Asia Tenggara” (2026-2028).
Undangan itu menimbulkan perasaan bercampur-baur. Saya merasakan satu tanggungjawab untuk melihat dan melaporkan sendiri keadaan sebuah negara yang masih dilanda perang, namun pada masa sama terselit kebimbangan memikirkan perjalanan ke zon konflik yang masih aktif.
Selepas mempertimbangkannya, panggilan tugas mengatasi segalanya. Dengan kelulusan pihak pengurusan editorial, saya memutuskan untuk pergi.
Pada 6 Sept, saya bersama empat wartawan lain dari Thailand dan Filipina memulakan perjalanan ke Ukraine.
Kami menaiki penerbangan berasingan ke Chisinau, Moldova kerana semua lapangan terbang di Ukraine ditutup susulan penutupan ruang udara sejak perang bermula, sebelum meneruskan perjalanan ke Kyiv melalui jalan darat.
PERJALANAN DARAT KE KYIV
Perjalanan dari Chisinau ke Kyiv mengambil masa hampir 10 jam sejauh kira-kira 560 kilometer.
Sepanjang perjalanan, kami melalui perkampungan, kawasan pertanian dan hamparan ladang bunga matahari sebelum tiba di ibu negara Ukraine kira-kira 6.26 petang.
Dalam perjalanan, kami singgah sebentar untuk membeli buah-buahan dan sempat berbual dengan penduduk tempatan mengenai keadaan di Ukraine.
Ada yang kelihatan terkejut apabila mengetahui sekumpulan wartawan asing sedang menuju ke Kyiv. Mereka bertanya mengapa kami mahu ke sana, sama ada kami takut dan apa pandangan kami mengenai perang itu.
Pertanyaan itu terus bermain di fikiran saya ketika perjalanan menuju ke ibu negara diteruskan.
KESAN PERANG
Untuk beberapa jam pertama, sebahagian besar perjalanan kelihatan aman, namun kesan perang semakin sukar diabaikan sebaik sahaja kami menyeberangi sempadan memasuki Ukraine.
Antaranya sebuah jambatan yang rosak akibat serangan, mengingatkan kami bahawa landskap mendamaikan yang dilalui itu turut meninggalkan parut akibat konflik.
Namun, apabila akhirnya memasuki Kyiv, ibu negara itu kelihatan hampir seperti kota besar lain yang sibuk dengan kehidupan.
Jalan raya sesak dan lalu lintas sibuk. Orang ramai bergegas ke sana sini, mungkin kerana kami tiba ketika kebanyakan mereka dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.
Keadaannya jauh berbeza daripada gambaran yang saya bayangkan mengenai sebuah ibu negara yang masih terperangkap dalam kancah peperangan.
AMARAN PERTAMA DI KYIV
Kami tiba di tempat penginapan dan selepas mendaftar masuk pada 7.30 malam, saya yang keletihan tidak sabar mahu berehat di bilik yang terletak di tingkat enam.
Namun, belum sempat saya benar-benar berehat, amaran serangan udara berbunyi disusuli pengumuman menerusi sistem pembesar suara yang mengarahkan tetamu turun ke tempat perlindungan.
Aplikasi Air Alert turut mempunyai keunikan tersendiri. Dalam versi bahasa Inggeris yang menggunakan suara pelakon Star Wars, Mark Hamill, pengumuman bahawa ancaman telah berakhir diakhiri dengan ungkapan yang cukup dikenali: “May the Force be with you!”
Untuk seketika, saya tidak pasti apa yang perlu dilakukan. Teringat arahan penyambut tetamu, saya segera mencapai pasport dan turun ke bawah, sebelum bertemu dua wartawan Thailand daripada kumpulan kami di tangga.
Ketika kami masih mencari pintu masuk ke tempat perlindungan, seorang tetamu warga Britain bernama Mike menunjukkan jalannya.
Dua wartawan Filipina daripada kumpulan kami sudah berada di dalam.
Tempat perlindungan bawah tanah berhampiran kawasan parkir itu diterangi cahaya samar dan dilengkapi katil, kerusi bean bag serta meja. Selain kumpulan kami, beberapa tetamu lain sudah berada di situ termasuk keluarga bersama anak-anak, manakala ada yang bekerja menggunakan komputer riba dan yang lain berbaring di atas katil atau kerusi bean bag.
Bunyi siren serangan udara masih kedengaran dari atas, berselang-seli dengan bunyi notifikasi amaran daripada telefon bimbit.
Kira-kira 30 minit kemudian, kami kembali ke bilik masing-masing.
Saya tidak berasa terlalu bimbang. Sebaliknya, saya tertanya-tanya sama ada beginilah keadaan yang bakal dilalui sepanjang beberapa hari berikutnya dan bagaimana rakyat Ukraine sendiri belajar menjalani kehidupan dalam keadaan seperti itu.
MALAM PERTAMA TANPA TIDUR
Satu lagi amaran berbunyi pada 12.24 tengah malam dan saya sekali lagi bergegas turun, kali ini membawa pasport, komputer riba, kamera, kabel serta barangan penting lain.
Ramai tetamu sudah berada di tempat perlindungan. Ada yang bersiap untuk tidur, manakala yang lain terus bekerja atau memeriksa telefon. Menjelang kira-kira 3.30 pagi, semakin ramai tiba kerana amaran masih berterusan dan siren terus berbunyi.
Saya langsung tidak tidur. Sepanjang malam, saya mencatat nota dan memeriksa telefon.
Waktu di Kyiv lewat lima jam berbanding Malaysia, jadi ketika Ukraine masih di tengah malam, rakan sekerja saya di tanah air sudah memulakan hari mereka.
Pada satu ketika, editor saya menghantar mesej bertanyakan perjalanan saya. Saya menjawab bahawa semuanya baik-baik sahaja.
Apa yang tidak saya beritahu ialah saya membalas mesej itu dari dalam tempat perlindungan serangan udara. Tidak ada gunanya membuatkan beliau bimbang.
KOTA YANG TERUS BERGERAK
Menjelang pagi, Kyiv kembali kepada rentak kehidupannya.
Orang ramai pergi bekerja, restoran dan kedai dibuka, kereta memenuhi jalan raya dan pejalan kaki meneruskan urusan harian.
Ketika melalui pusat bandar Kyiv, tidak jauh dari Independence Square, kami tiba-tiba ternampak kepulan asap tebal menjulang di kejauhan. Kepulan itu semakin membesar di depan mata kami.
Penterjemah Ukraine kami, Anna Pantiukhova kemudian memberitahu bahawa sebuah bangunan telah terkena serangan.
Seperti wartawan ASEAN lain bersama saya, saya mengeluarkan kamera dan mula merakam apa yang dapat dilihat. Namun di sekeliling kami, orang ramai terus berjalan dan kenderaan terus bergerak.
Pada mulanya, saya tertanya-tanya apakah perasaan mereka dan sama ada mereka takut untuk terus melakukan aktiviti seperti biasa walaupun serangan baru sahaja berlaku berhampiran.
Namun sepanjang beberapa hari berikutnya, saya mula menyedari bahawa persoalannya mungkin bukan lagi mengenai rasa takut. Kehidupan mereka sudah berubah, tetapi mereka juga belajar untuk terus menjalani kehidupan dan menyesuaikan diri dengan perubahan itu.
Timbalan Menteri Luar Ukraine Mariana Betsa menggambarkan keadaan itu ketika pertemuan bersama kami.
“Kyiv terus hidup, Kyiv tetap teguh. Ya, ia bukan mudah kerana serangan berlaku setiap hari dan sudah tentu keadaan ini tidak sepatutnya menjadi kebiasaan baharu. Tetapi Ukraine sangat berdaya tahan,” katanya.
Ketika beliau bercakap, bunyi letupan kedengaran di luar sementara notifikasi amaran serangan udara berbunyi pada telefon bimbit di dalam bilik.
BELAJAR BILA PERLU BERGERAK
Amaran menerusi telefon bimbit itu sudah menjadi sebahagian daripada pertimbangan dalam kehidupan seharian. Ia boleh didengari di jalan raya, restoran dan pejabat, sering menyebabkan orang ramai segera memeriksa telefon apabila amaran berbunyi.
Pantiukhova menjelaskan bahawa sistem amaran berbeza mengikut tahap ancaman diperkenalkan bagi mengurangkan gangguan terhadap rutin harian termasuk pendidikan dan kegiatan ekonomi, dengan membolehkan penduduk membezakan tahap ancaman udara.
Kuning menandakan ancaman dron, manakala merah menunjukkan ancaman serangan dron secara besar-besaran, ancaman misil atau gabungan ancaman misil dan dron.
Saya sendiri merasai perbezaannya ketika menaiki van menuju ke lokasi lain apabila amaran merah muncul pada telefon kami.
Pantiukhova memberitahu bahawa serangan dron secara besar-besaran sedang berlaku di ibu negara dan kami perlu berlindung di stesen metro terdekat.
Kami memberhentikan van dan berlari ke stesen metro berhampiran sebelum menuruni eskalator panjang, jauh lebih dalam ke bawah tanah daripada yang pernah saya alami sebelum ini.
Beberapa kumpulan sudah berlindung di situ, ada yang duduk di lantai manakala yang lain bergerak di sekitar stesen.
Apa yang menarik perhatian saya ialah perkhidmatan metro terus beroperasi. Tren terus tiba dan berlepas ketika ruang bawah tanah yang sama digunakan orang ramai sebagai tempat perlindungan.
Kami menunggu sehingga ancaman berakhir sebelum meneruskan perjalanan.
KANAK-KANAK YANG TERUS BELAJAR
Mungkin gambaran paling jelas mengenai cara rakyat Ukraine menyesuaikan diri dengan keadaan perang dapat dilihat di sebuah sekolah.
Kami berada berhampiran sekolah itu apabila satu lagi amaran serangan udara berbunyi. Saya melihat murid keluar dari kelas, segera berbaris sebelum berjalan menuju ke tempat perlindungan. Kami turut masuk ke tempat perlindungan sama untuk berlindung.
Di dalamnya terdapat meja, kerusi dan juga sebuah peti sejuk.
Sebaik berada di bawah tanah, kanak-kanak itu tidak sekadar menunggu sehingga amaran berakhir. Seorang guru menyambung semula pelajaran dan murid duduk di meja masing-masing untuk terus belajar.
Bagi seseorang yang datang dari luar negara, menyaksikan sesi pembelajaran diteruskan di dalam tempat perlindungan serangan udara menimbulkan rasa kurang senang. Namun bagi kanak-kanak dan guru mereka, ia kelihatan seperti rutin yang sudah biasa dilalui.
Dalam satu pertemuan, kami bertanya kepada Betsa sama ada rakyat Ukraine, khususnya kanak-kanak, sudah penat atau takut menjalani kehidupan dalam keadaan sedemikian.
Jawapannya tegas.
“Perkara ini sangat jelas. Ini rumah kami. Kami hanya mempunyai satu rumah, satu negara.”
KETIKA KYIV TERHENTI SEKETIKA
Di Independence Square, ribuan bendera kecil Ukraine, gambar dan bunga membentuk tugu peringatan bagi anggota tentera yang terkorban.
Setiap pagi tepat 9, seluruh Ukraine bertafakur selama seminit bagi memperingati mereka yang terkorban dalam perang, manakala pengguna aplikasi Air Alert turut menerima notifikasi menandakan detik berkenaan.
Saya sendiri menyaksikannya. Kereta berhenti dan orang ramai berdiri kaku. Saya turut berbuat demikian.
Selama 60 saat, segala-galanya terhenti.
Kemudian, Kyiv kembali bergerak.
PENGERTIAN YANG BERBEZA
Menjelang penghujung lawatan, wakil sebuah pertubuhan bukan kerajaan pula mengajukan soalan kepada kami.
Kali ini, mereka mahu tahu apa yang kami fikirkan mengenai Ukraine sebelum tiba dan sama ada pandangan itu berubah selepas beberapa hari berada di sana.
Saya memberitahu mereka bahawa sebelum perjalanan itu, saya membayangkan jalan raya lebih lengang, sekatan lebih ketat dan suasana yang jauh berbeza di sebuah negara yang sedang berperang.
Ketika itu, reaksi saya terhadap amaran juga sudah berubah. Apabila amaran kuning muncul, ada kalanya saya terus melakukan apa yang sedang dilakukan tanpa segera menuju ke tempat perlindungan, tetapi amaran merah adalah cerita yang berbeza.
Saya berseloroh bahawa saya kini berasa “sedikit seperti orang Ukraine”. Semua ketawa.
Sudah tentu, beberapa hari di Kyiv tidak mungkin dapat dibandingkan dengan apa yang dilalui rakyat Ukraine selama bertahun-tahun.
Namun persoalan yang terus bermain di fikiran saya sejak kami berhenti di tepi jalan dalam perjalanan dari Chisinau itu akhirnya mula terjawab.
Mereka tahu bila perlu berhenti, bila perlu mencari perlindungan dan bila perlu meneruskan kehidupan.
Malam pertama saya di Kyiv dilalui sebahagian besarnya di bawah tanah. Namun ketika tiba masa untuk meninggalkan kota itu, saya memahami bahawa ketahanan di sini bukan bermaksud mengabaikan bahaya.
Sebaliknya, ia tentang belajar meneruskan kehidupan selagi bahaya itu masih ada.
-- BERNAMA