Dunia 17/10/2026 08:57 AM

EU Kesal Keputusan AS Longgarkan Sementara Sekatan Terhadap Diesel Rusia

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
EU Kesal Keputusan AS Longgarkan Sementara Sekatan Terhadap Diesel Rusia
-- AP Photo/Martin Meissner

BRUSSELS, 17 Okt (Bernama-Anadolu) -- Pemimpin Kesatuan Eropah (EU) pada Jumaat menyuarakan rasa kesal terhadap keputusan Amerika Syarikat (AS) menarik balik sekatan ke atas diesel Rusia secara sementara, sambil menegaskan komitmen berterusan mereka untuk menyokong Ukraine, lapor Anadolu Ajansi (AA).

"Majlis Eropah kesal dengan keputusan Amerika Syarikat untuk menarik balik sekatan terhadap diesel Rusia secara sementara," menurut kenyataan yang diterima pakai selepas mesyuarat dua hari Majlis Eropah di Brussels pada 15 hingga 16 Okt.

Minggu lepas, Presiden AS Donald Trump berkata beliau telah mencapai persetujuan untuk mendapatkan bekalan diesel dari Rusia bagi menangani harga bahan api yang tinggi.

Pemimpin EU turut menggesa supaya laluan selamat bagi semua kapal awam dan perdagangan di Laut Hitam dipulihkan segera.

Mereka menyifatkan serangan terhadap kapal, termasuk di zon ekonomi eksklusif Bulgaria dan Romania, sebagai tindakan yang tidak boleh diterima serta pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa dan undang-undang maritim.

Mereka turut menggesa langkah lebih tegas bagi menangani ancaman hibrid, melindungi infrastruktur kritikal serta meningkatkan kesiapsiagaan, selain menyatakan bahawa sekatan tambahan dan syarat visa lebih ketat terhadap warga Rusia akan dipertimbangkan segera.

Dalam aspek keselamatan Eropah, para pemimpin menekankan keperluan memperkukuh keupayaan pertahanan EU, sambil mengekalkan peranan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sebagai asas pertahanan bersama negara anggotanya.

Sementara itu mengenai Asia Barat, mereka menyuarakan kebimbangan terhadap ketegangan yang semakin memuncak dan menggesa usaha diplomatik bagi mengelakkan ketidakstabilan berterusan, selain menekankan kepentingan kebebasan pelayaran dan keselamatan maritim.

Mereka turut mengecam ancaman terhadap kapal perdagangan di Selat Hormuz dan menggesa supaya sebarang pengaturan berkaitan laluan perairan itu mematuhi undang-undang antarabangsa.

Pemimpin EU juga mengecam serangan kumpulan Houthi terhadap Arab Saudi serta kapal awam di Laut Merah dan Selat Bab al-Mandab, sambil menggesa serangan dihentikan segera.

Berhubung Gaza dan Tebing Barat yang diduduki, mereka menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap krisis kemanusiaan yang semakin meruncing, selain mengecam peluasan penempatan haram serta keganasan pendatang haram Israel yang berterusan dan semakin meningkat terhadap orang awam Palestin.

Mereka menggesa Israel membatalkan rancangan pembinaan penempatan haram, termasuk cadangan pembangunan di kawasan E1.

"Majlis Eropah menegaskan semula bahawa syarikat tidak seharusnya menyertai tender kontrak pembinaan di E1 atau projek pembangunan penempatan lain, selain mengingatkan mengenai implikasi perundangan, ekonomi dan reputasi terhadap syarikat serta institusi kewangan yang terlibat dalam pembinaan penempatan itu, termasuk risiko melakukan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa," menurut deklarasi berkenaan.

Pemimpin EU turut menyatakan kekesalan terhadap sekatan AS ke atas Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan menggesa Washington menarik balik langkah itu.

Mereka turut menegaskan kesediaan EU untuk melindungi mahkamah berkenaan serta memastikan ICC terus mendapat akses kepada perkhidmatan kewangan dan perkhidmatan lain.

-- BERNAMA-ANADOLU