Am 16/10/2026 04:39 PM

NGO Wanita Syor Perbelanjaan Kerajaan Dipantau Belanjawan Responsif Gender

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
NGO Wanita Syor Perbelanjaan Kerajaan Dipantau Belanjawan Responsif Gender
Penyelaras Sekretariat Perantis Wanita Muda Tina Tajuddin (dua, kanan) menyerahkan memorandum kepada Pengarah Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Perak S. Kavaramma (dua, kiri) ketika hadir di Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Perak di UTC hari ini.

IPOH, 16 Okt (Bernama) -- Sekretariat Perantis Wanita Muda mengesyorkan sekurang-kurangnya satu peratus daripada perbelanjaan Kerajaan Persekutuan pada 2027 dipantau menerusi pendekatan belanjawan responsif gender. 

Syor itu antara kandungan Memorandum Aspirasi Wanita Muda yang diserahkan oleh penyelaras pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan Tina Tajuddin kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi Pengarah Pembangunan Wanita Negeri Perak S. Kavaramma hari ini.

Tina berkata cadangan menerusi memorandum itu diselaraskan dengan empat teras Dasar Wanita Negara 2025-2030, iaitu ekonomi, kepimpinan, keselamatan dan kesejahteraan bagi menyokong pembangunan wanita yang lebih inklusif serta berkesan.

"Syor ini tidak bermaksud permohonan peruntukan baharu atau tambahan sebaliknya menekankan pengesanan, penyelarasan, ketelusan dan penilaian keberkesanan peruntukan sedia ada terhadap keperluan wanita," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum itu di sini.

Beliau berkata sekretariat itu berpandangan bahawa keperluan wanita muda wajar diberi perhatian dalam perancangan belanjawan negara kerana pendekatan responsif gender bukan sekadar berkaitan pengagihan peruntukan semata-mata.

"Ia penting untuk memastikan dasar, program dan inisiatif kerajaan mengambil kira perbezaan keperluan, peluang serta cabaran yang dihadapi oleh golongan wanita," katanya.

Tina berkata sekretariat itu juga berharap supaya memorandum tersebut dapat dipertimbangkan secara konstruktif oleh KPWKM bagi memperkukuh pelaksanaan belanjawan responsif gender, meningkatkan penggunaan peruntukan sedia ada dan memastikan pembangunan dapat dinikmati secara lebih saksama.

Sementara itu, Kavaramma berkata memorandum tersebut akan diserahkan kepada KPWKM untuk tindakan selanjutnya.

Beliau juga berharap cadangan yang dikemukakan boleh diperhalusi oleh pihak berkaitan.

-- BERNAMA