Am 16/10/2026 12:34 PM

Pengarah APM Pahang Lakar Rekod MBOR, Derma Darah Di 15 Bandar

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pengarah APM Pahang Lakar Rekod MBOR, Derma Darah Di 15 Bandar
Ketua Pesuruhjaya merangkap Ketua Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Mohammad Abiddin Abdul Rahman (tiga, kiri) bersama Pengarah Pusat Darah Negara, Dr Nor Nazahah Mahmud (tengah) menyaksikan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Pahang, Che Adam A Rahman (dua, kiri) menerima sijil Malaysia Book of Records daripada Pegawai Rasmi Hajar Johor (dua, kanan) pada Majlis Perasmian Projek Derma Darah Tanpa Sempadan "My Blood Donation Trans City" Infaq Darah Demi Ummah 2023-2026 di Pusat Darah Negara, hari ini.

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang Kol (PA) Che Adam A Rahman, melakar rekod tersendiri apabila menerima pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Records (MBOR) selepas melengkapkan misi menderma darah di 15 bandar utama, di seluruh negara.

Pengiktirafan menerusi rekod First to Complete Blood Donation in All Capital City itu, dicapai selepas beliau menyempurnakan misi berkenaan yang bermula pada 2023 melibatkan 13 negeri dan dua Wilayah Persekutuan.

Che Adam berkata misi menerusi “Projek Derma Darah Tanpa Sempadan: My Blood Donation Trans City Infaq Darah Demi Ummah" itu, bertujuan membudayakan amalan menderma darah khususnya dalam kalangan golongan muda dan penderma baharu.

“Tujuan utama ataupun signifikan kita buat program ini adalah untuk membentuk ataupun membudayakan derma darah dalam kalangan belia terutamanya penderma darah baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sijil MBOR kepadanya di Pusat Darah Negara di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pesuruhjaya APM Mohammad Abiddin Abd Rahman, Pengarah Pusat Darah Negara (PDN) Dr Nor Nazahah Mahmud dan pegawai rasmi MBOR Hajar Johor.

Che Adam berkata sepanjang siri penjelajahan itu, beliau juga berjaya menarik hampir 200 anggota APM di setiap negeri dan daerah yang beliau singgah, untuk bersama-sama menjayakan aktiviti berkenaan.

Beliau berkata inisiatif itu secara tidak langsung, berjaya melahirkan penderma baharu di beberapa negeri termasuk Pulau Pinang, Perak, Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata pendermaan darah secara berkala amat penting, bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi, terutamanya ketika musim perayaan dan cuti panjang selain menampung keperluan pembedahan, mangsa kemalangan serta pesakit talasemia dan anemia.

“Diharapkan projek ini dapat menyeru kepada semua belia ataupun siapa sahaja untuk sentiasa istiqamah menderma darah setiap tiga bulan sekali, supaya bekalan darah di setiap daerah dan pusat transfusi darah di semua negeri sentiasa mencukupi,” katanya.

Sementara itu, Dr Nor Nazahah berkata kerjasama antara PDN dan agensi seperti APM, berupaya memberi impak besar dalam menyampaikan mesej kepentingan menderma darah kepada komuniti.

Beliau berkata penglibatan wakil daripada agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan sebagai duta atau jurucakap, dapat membantu menyampaikan mesej berkenaan dengan lebih berkesan kepada masyarakat.

Dr Nor Nazahah berkata kadar pendermaan darah di Malaysia ketika ini ialah 2.3 peratus dan pihaknya menyasarkan peningkatan kepada tiga peratus menjelang 2030, sekali gus memerlukan usaha promosi secara bersama dengan pelbagai pihak.

-- BERNAMA