Am 15/10/2026 11:08 PM

Utamakan Ketepatan Dan Keadilan Berita, Dengar Penjelasan Kedua-dua Pihak - Fahmi

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Utamakan Ketepatan Dan Keadilan Berita, Dengar Penjelasan Kedua-dua Pihak - Fahmi

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Pengamal media dan wartawan dinasihatkan supaya sentiasa mengutamakan penelitian, ketepatan serta keadilan dalam melaporkan sesuatu berita terutamanya isu yang melibatkan reputasi mana-mana pihak.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata dalam mengejar kepantasan untuk menerbitkan sesuatu laporan, pengamal media tidak seharusnya mengetepikan prinsip laporan adil dengan mendapatkan penjelasan daripada semua pihak yang terlibat.

"Bila kita terlalu mengejar siapa yang paling cepat siarkan, kita mungkin tertinggal perkara yang lebih penting iaitu konteks, ketepatan dan keadilan buat semua pihak.

"Dalam apa jua isu, lebih-lebih lagi yang melibatkan reputasi, dengar kedua-dua pihak sebelum disiarkan," katanya menerusi klip video yang dimuat naik di Facebook hari ini.

Fahmi berkata beliau terpanggil untuk mengulas perkara itu susulan hantaran tular yang melibatkan isu sukan membabitkan jurulatih berbasikal trek kebangsaan John Beasley dan pelumba negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang baru-baru ini.

Beliau turut menegaskan bahawa hak untuk menjawab dan ruang untuk memberikan penjelasan perlu diberikan secukupnya kepada pihak yang dilaporkan.

"Kita juga perlu tekankan keperluan setiap cerita itu dilapor dengan teliti dan tepat... SMS ke, WhatsApp ke, kalau orang itu jenis tidak mahu ada WhatsApp, cuba telefon... use the human touch, bagi ruang untuk jawapan.

"… dan kalau pihak itu tidak mahu memberikan komen, kita tulis sahaja yang bersesuaian dalam laporan tersebut," katanya.

Fahmi turut mengambil kesempatan untuk menzahirkan rasa kagum dan amat menghargai komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh atlet bertaraf dunia negara.

"Kepada semua atlet, jurulatih serta penggiat sukan negara, terima kasih atas segala yang anda lakukan untuk Malaysia," katanya.

-- BERNAMA