KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- OE EduGroup (OE) mengumumkan pelan transformasinya daripada “platform pendidikan keusahawanan” kepada sebuah “ekosistem usahawan Asia” sempena ulang tahun ke-10 organisasi itu.
Pelan transformasi itu diumumkan pada Sidang Kemuncak Alumni CEO OE EduGroup di Nexus Bangsar baru-baru ini, yang menghimpunkan hampir 1,000 alumni ketua pegawai eksekutif (CEO), usahawan, mentor dan komuniti perniagaan bagi meraikan ulang tahun ke-10 organisasi berkenaan.
Pengerusi OE Datuk Dr Calvin Khiu berkata transformasi itu bertujuan menyediakan sokongan pertumbuhan perniagaan yang lebih menyeluruh, merangkumi pembangunan pasukan, keupayaan jualan, penjenamaan, akses kepada sumber industri, perancangan modal dan pewarisan perniagaan.
“OE melangkah ke ulang tahun yang ke-10 dan secara rasmi berkembang daripada sebuah platform pendidikan keusahawanan kepada sebuah ekosistem usahawan Asia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata OE akan menjadikan konsep “Satu Ekosistem, Lima Sistem Pertumbuhan” sebagai teras pembangunan masa hadapannya bagi membantu usahawan membina perniagaan yang lebih tersusun, berdaya saing dan mampan.
“Lima sistem itu memberi tumpuan kepada pembangunan pendidikan, jenama, industri, modal dan pewarisan, termasuk meningkatkan kemahiran kepimpinan, mengukuhkan jenama, memperluas jaringan perniagaan, memudahkan akses kepada modal serta melahirkan pelapis syarikat.
“Pendekatan pembelajaran praktikal juga membolehkan usahawan menerapkan ilmu dalam pengurusan pasukan, jualan, pemasaran dan operasi perniagaan, sekali gus mengurangkan kebergantungan syarikat terhadap kebolehan individu pemilik,” katanya.
Menerusi program pembelajaran, bimbingan mentor dan jaringan perniagaan, organisasi itu berhasrat membantu usahawan membangunkan keupayaan individu kepada keupayaan pasukan sebelum membentuk sistem operasi yang boleh dikembangkan secara berterusan.
Sidang kemuncak itu turut menampilkan perkongsian pengalaman alumni daripada pelbagai industri serta pelancaran buku baharu Triple Win Mindset, yang mengetengahkan prinsip mewujudkan nilai bersama antara syarikat, rakan kerjasama dan masyarakat.
Bersempena dengan sambutan ulang tahun itu, OE turut memperkenalkan program penghargaan bernilai keseluruhan RM2 juta kepada alumni dan komuniti usahawan, termasuk menerusi inisiatif “Kotak Misteri Penghargaan Ulang Tahun ke-10”.
Acara sambutan berkenaan turut diisi dengan tayangan video khas ulang tahun ke-10, upacara memotong kek dan perkongsian oleh Calvin.
Bagi dekad seterusnya, OE merancang membangunkan OE ASIA HUB sebagai platform yang menghubungkan usahawan dan rakan strategik bagi menggalakkan perkongsian sumber, kerjasama rentas industri serta penerokaan peluang perniagaan di Asia.
Usaha itu diharap dapat membantu usahawan mengatasi cabaran perniagaan secara bersama, selain membina daya saing jangka panjang menerusi jaringan dan ekosistem sokongan yang lebih kukuh.
-- BERNAMA