ISTANBUL, 13 Okt (Bernama-Anadolu) -- Pakatan pimpinan Arab Saudi yang menyokong Kerajaan Yaman diiktiraf di peringkat antarabangsa berkata pada Selasa bahawa pihaknya akan mengeluarkan amaran pemindahan kepada orang awam di ibu negara Yaman, Sanaa, yang dikuasai Houthi, dalam masa terdekat menjelang operasi ketenteraan yang dirancang, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Jurucakap pakatan itu, Turki al-Maliki berkata dalam satu kenyataan di platform X bahawa orang awam akan diarahkan berpindah bagi membolehkan pakatan berkenaan melaksanakan satu “operasi tepat”.
Beliau tidak menyatakan lokasi atau memberikan butiran lanjut mengenai bentuk mahupun masa operasi itu akan dijalankan.
Pengumuman itu dibuat ketika ketegangan antara pakatan berkenaan dengan Kumpulan Houthi di Yaman kembali memuncak.
-- BERNAMA-ANADOLU