Dunia 13/10/2026 09:39 PM

Mesir Sedia Beri "Sebarang Bentuk" Sokongan Kepada Arab Saudi Susulan Serangan Houthi

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Mesir Sedia Beri
-- Saudi Media Ministry via AP

ISTANBUL, 13 Okt (Bernama-Anadolu) -- Mesir bersedia memberikan “sebarang bentuk” sokongan kepada Arab Saudi ketika negara itu berdepan serangan Houthi yang semakin meningkat, kata Menteri Luar Badr Abdelatty pada Selasa, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Apa sahaja yang diminta oleh Arab Saudi, sudah tentu kami akan memberikan respons,” kata Abdelatty kepada Bloomberg Television ketika ditanya sama ada Mesir boleh memberikan sokongan ketenteraan kepada Arab Saudi.

“Tanpa sebarang keraguan, kami menyediakan segala bentuk sokongan,” katanya dalam wawancara di luar Mesyuarat Tahunan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) di Bangkok yang berlangsung dari 12 hingga 18 Okt.

Abdelatty turut berkata Mesir sedang mempertimbangkan secara serius untuk menyertai Perjanjian Pertahanan Bersama Makkah yang kini melibatkan Arab Saudi, Turkiye dan Pakistan.

“Perkara itu sedang dipertimbangkan secara serius oleh pihak Mesir,” katanya.

Perjanjian itu ditandatangani di Makkah pada 7 Ogos oleh Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman, Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan dan Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif.

Perjanjian itu menetapkan bahawa serangan bersenjata terhadap satu daripada tiga negara berkenaan akan dianggap sebagai serangan terhadap kesemuanya.

Turkiye memaklumkan bahawa perjanjian itu bersifat defensif, tidak menyasarkan mana-mana negara dan terbuka kepada negara sahabat lain.

Pada 5 Okt, pakatan itu bersetuju untuk “segera” melaksanakan komitmen pertahanan bersama susulan peningkatan serangan Houthi terhadap Arab Saudi serta mengambil langkah bagi “atur gerak pantas” pasukan dan keupayaan ketenteraan yang dipersetujui ke negara itu.

Kenyataan Abdelatty itu dibuat susulan peningkatan mendadak serangan misil dan dron Houthi terhadap lapangan terbang serta kemudahan lain di Arab Saudi.

Turkiye, Mesir, Pakistan dan Arab Saudi mengeluarkan kenyataan bersama pada Ahad yang mengecam serangan berkenaan serta menegaskan semula sokongan terhadap langkah sah Riyadh untuk membanteras dan mencegah serangan itu.

-- BERNAMA-ANADOLU