Am 13/10/2026 12:31 PM

MSGM Mohon Perluas Bantuan Kewangan, Penjagaan Di Rumah Untuk Warga Emas

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
MSGM Mohon Perluas Bantuan Kewangan, Penjagaan Di Rumah Untuk Warga Emas

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Persatuan Perubatan Geriatrik Malaysia (MSGM) memohon agar kerajaan memperluas bantuan kewangan dan menyediakan perkhidmatan penjagaan di rumah bagi memenuhi keperluan warga emas ketika Malaysia dijangka menjadi negara menua menjelang 2036.

Presidennya Profesor Madya Dr Terence Ong berkata Belanjawan 2027 pada Jumaat lepas mengandungi beberapa langkah positif untuk memperkukuh penjagaan warga emas, namun penambahbaikan masih diperlukan dalam aspek kesihatan, kebajikan dan sokongan kepada penjaga keluarga.

Antara inisiatif yang dialu-alukan ialah cadangan penggubalan Rang Undang-Undang Warga Emas, penubuhan dua pusat National Integrated Care of the Elderly (NICE) di Pulau Pinang dan Sarawak serta latihan untuk 8,000 pekerja penjagaan.

MSGM turut menyambut baik pengurangan cukai perkhidmatan bagi penjagaan warga emas daripada lapan kepada enam peratus, pengecualian cukai bagi yuran penjagaan tahunan sehingga RM96,000 dan peningkatan bantuan penjagaan bagi individu terlantar daripada RM500 kepada RM600 sebulan di bawah skim Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Bagaimanapun, persatuan itu memaklumkan keutamaan seterusnya ialah memperkukuh capaian bantuan kewangan memandangkan peruntukan Bantuan Warga Emas meningkat daripada RM1.26 bilion kepada RM1.3 bilion manakala jumlah penerima bertambah daripada 180,000 kepada hampir 200,000 orang.

MSGM memaklumkan purata bantuan bagi setiap penerima masih menunjukkan penurunan daripada kira-kira RM7,000 kepada RM6,500 setahun sementara penerima bantuan merangkumi kurang daripada lima peratus daripada keseluruhan warga emas di Malaysia.

Selain itu, persatuan itu memohon supaya kerajaan memperluas sokongan untuk membolehkan warga emas terus tinggal dan menua di rumah sendiri. 

“Ramai keluarga menjaga warga emas pada peringkat awal hingga sederhana kebergantungan termasuk mereka yang mengalami demensia tahap awal hingga sederhana, kerapuhan fizikal atau sedang menjalani pemulihan selepas strok.

“Pada peringkat inilah sokongan yang diberikan tepat pada masanya mampu membawa perubahan yang besar,” menurut kenyataan itu.

MSGM memaklumkan Belanjawan 2027 tidak mengumumkan perkhidmatan penjagaan atau kejururawatan di rumah yang dibiayai kerajaan, penjagaan sementara bagi memberi rehat kepada penjaga mahupun geran pengubahsuaian rumah untuk mencegah kejadian jatuh dan meningkatkan aksesibiliti.

Persatuan itu juga memohon agar kerajaan menyediakan peruntukan khusus bagi perkhidmatan geriatrik, termasuk wad geriatrik, penilaian geriatrik komprehensif, pemulihan selepas discaj hospital serta latihan untuk pakar perubatan dan jururawat geriatrik.

Selain itu, MSGM mahu penjagaan demensia dijadikan keutamaan melalui pelaksanaan pelan tindakan kebangsaan yang menetapkan sasaran jelas bagi diagnosis awal, sokongan selepas diagnosis, latihan penjaga dan peningkatan kesedaran awam.

Persatuan itu juga mencadangkan pengecualian cukai bagi yuran penjagaan diperluas kepada perkhidmatan di rumah dan berasaskan komuniti, selain meningkatkan jumlah serta liputan Bantuan Warga Emas selaras dengan inflasi dan keperluan semasa.

MSGM turut mencadangkan pembangunan model pembiayaan penjagaan jangka panjang yang mengintegrasikan penjagaan kesihatan dan sosial, dengan pembahagian tanggungjawab yang jelas antara kementerian serta sokongan berterusan mengikut perubahan keperluan warga emas.

Persatuan itu memaklumkan Belanjawan 2027 menyediakan hala tuju yang positif dalam menangani peningkatan usia penduduk namun Malaysia memerlukan sistem kesihatan dan penjagaan yang memenuhi keperluan warga emas di tempat mereka tinggal.

MSGM menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan kementerian dan pihak berkepentingan bagi memperkukuh dasar serta pelaksanaan penjagaan warga emas di negara ini.

-- BERNAMA