Ekonomi 09/10/2026 05:27 PM

Khazanah, KWAP Sedia Pelaburan RM450 Juta Untuk Syarikat Pemula Niaga - PM Anwar

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Khazanah, KWAP Sedia Pelaburan RM450 Juta Untuk Syarikat Pemula Niaga - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) menyediakan pelaburan berjumlah RM450 juta bagi menyokong pembangunan syarikat pemula niaga, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata Dana Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), Dana Pemacu KWAP dan Dana Syarikat Peringkat Pertengahan Malaysia (MTC) Khazanah, yang berjumlah keseluruhan RM2.1 bilion, turut dimanfaatkan bagi memperkukuh keupayaan syarikat peringkat pertengahan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), digital, aeroangkasa serta peranti perubatan.

“Bagi menarik modal swasta menerusi platform pendanaan awam ekuiti (ECF) dan pembiayaan rakan setara (P2P), sebanyak RM270 juta disediakan untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS), syarikat peringkat pertengahan serta perusahaan sosial.

“Pengecualian cukai pendapatan dilanjutkan kepada pelabur individu menerusi platform ECF serta pelabur pemangkin yang membiayai syarikat pemula niaga teknologi peringkat awal sehingga 31 Dis 2030,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sebanyak RM41 juta diperuntukkan kepada Cradle Fund Sdn Bhd bagi melaksanakan Pelan Hala Tuju Ekosistem Pemula Niaga, selain menyediakan geran pembangunan prototaip dan pengkomersialan.

Belanjawan MADANI Kelima yang bertemakan “Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” merupakan belanjawan kedua di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

-- BERNAMA