TURIN, Itali, 9 Okt (Bernama) -- Obor api Universiade Musim Sejuk Changchun 2027 telah dinyalakan di Turin, Itali pada Khamis, menandakan satu lagi detik penting dalam persiapan menjelang Sukan Universiti Dunia Musim Sejuk ke-33 yang akan berlangsung di Wilayah Jilin, di timur laut China, pada Januari 2027.
Majlis penyalaan api tersebut berlangsung di Universiti Turin. Datuk Bandar Changchun, Gu Gang, bersama dengan Presiden Persekutuan Sukan Universiti Antarabangsa (FISU), Leonz Eder, bersama-sama menyalakan kawah api dengan menggunakan obor daripada Universiade sulung yang diadakan di Turin pada 1959, sebelum api tersebut dipindahkan ke tanglung khas untuk Universiade Musim Sejuk Changchun 2027.