KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Pembentangan Belanjawan 2027 hari ini diharap dapat terus memperkukuh ekonomi negara, meringankan beban sara hidup rakyat serta memelihara keamanan dan kestabilan nasional.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menerusi hantaran di platform X hari ini berkata Belanjawan 2027 dijangka meneruskan usaha Kerajaan MADANI untuk memperluas kemakmuran ekonomi dan mengutamakan kesejahteraan rakyat.
“Belanjawan MADANI terdahulu telah menggerakkan pelbagai inisiatif untuk membantu rakyat, memperkukuh ekonomi dan membangunkan negara. Hasilnya, ekonomi Malaysia terus menunjukkan daya tahan yang baik dengan pertumbuhan 5.7 peratus bagi separuh pertama 2026, meskipun dunia berdepan pelbagai ketidaktentuan,” katanya.
Beliau berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertanggungjawab memastikan keamanan, keselamatan dan kestabilan negara terus terpelihara, termasuk memperkukuh keupayaan agensi penguatkuasaan serta menjaga kebajikan anggota yang berkorban demi keselamatan rakyat.
Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang dan Menteri Digital Gobind Singh Deo turut menekankan kepentingan perancangan belanjawan yang berpandangan jauh bagi membina masa depan negara yang mampan.
Menerusi hantaran di akaun X masing-masing, Aaron dan Gobind berkata masa depan negara perlu terus dibentuk menerusi perancangan yang berpandangan jauh, berpaksikan keperluan rakyat serta aspirasi Malaysia.
Mereka berkata Belanjawan 2027 memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada 3.30 petang ini.
-- BERNAMA