Dunia 09/10/2026 11:02 AM

Malaysia Tawar Kepakaran Akademik Untuk Luaskan Kerjasama Dengan Jawa Tengah

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Malaysia Tawar Kepakaran Akademik Untuk Luaskan Kerjasama Dengan Jawa Tengah
Pengarah Education Malaysia Indonesia (EMI) Dr Hasnul Faizal Hushin Amri - Kredit: EMI

Oleh Nik Nurfaqih Nik Wil

JAKARTA, 9 Okt (Bernama) -- Malaysia menawarkan untuk berkongsi kepakaran akademiknya dengan institusi pendidikan dan masyarakat setempat di wilayah Jawa Tengah, Indonesia.

Program itu merupakan sebahagian daripada usaha untuk meluaskan kerjasama pendidikan tinggi yang tidak hanya tertumpu kepada usaha menarik pelajar Indonesia melanjutkan pengajian ke universiti-universiti di Malaysia.

Pengarah Education Malaysia Indonesia (EMI) Dr Hasnul Faizal Hushin Amri berkata inisiatif itu bertujuan menggalakkan kerjasama dalam bidang pendidikan, latihan, mobiliti akademik, program khidmat masyarakat antarabangsa dan pelancongan pendidikan.

"Ia bukan sekadar mengenai program pendidikan, malah bagaimana kepakaran ini dapat dimanfaatkan secara bersama oleh masyarakat di Jawa Tengah sendiri," katanya kepada Bernama.

Hasnul berkata inisiatif itu diketengahkan pada Seminar Strategik EMI dan Pameran Pendidikan Tinggi Malaysia 2026 di Semarang, Jawa Tengah pada Khamis.

Acara itu menghimpunkan lapan universiti awam dan swasta Malaysia, ejen pendidikan serta hampir 300 penjawat awam wilayah berkenaan, termasuk pengetua sekolah menengah atas dan sekolah vokasional.

Hasnul yang juga Menteri Penasihat (Pendidikan) di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta berkata Semarang dipilih sebagai lokasi program permulaan itu berdasarkan potensi ekonomi Jawa Tengah serta keupayaannya menyokong kerjasama pendidikan yang lebih luas.

Beliau berkata EMI akan bertindak sebagai penghubung antara pentadbiran wilayah berkenaan dengan institusi pengajian tinggi Malaysia bagi memudahkan pembentukan jaringan hubungan serta meneroka potensi kerjasama.

Malaysia kini menempatkan kira-kira 11,450 pelajar Indonesia, dengan Hasnul menyatakan bahawa pengiktirafan akreditasi, kos yang berpatutan dan kedekatan geografi merupakan antara faktor mereka memilih untuk melanjutkan pengajian di negara ini.

Beliau menjelaskan bahawa Indonesia mengiktiraf penilaian kualiti pendidikan tinggi yang dijalankan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), manakala Malaysia turut mengiktiraf penilaian yang dilaksanakan oleh Badan Akreditasi Nasional Perguruan Tinggi (BAN-PT) Indonesia.

Sementara itu, EMI yang memetik Setiausaha Dinas Pendidikan Jawa Tengah Sunarto memaklumkan bahawa wilayah berkenaan amat berminat dengan kerjasama pendidikan vokasional bersama institusi Malaysia, termasuk politeknik, bagi membantu pelajar meningkatkan kemahiran mereka.

Dalam satu kenyataan, EMI memaklumkan bahawa Sunarto turut menyatakan minat terhadap kerjasama berkaitan biasiswa, sambil menjelaskan bahawa pentadbiran wilayah berkenaan menawarkan biasiswa tahunan yang boleh diselaraskan dengan bidang pengajian yang relevan dengan keperluan Jawa Tengah.

-- BERNAMA