Am 08/10/2026 03:46 PM

KPT Gerakkan "Counselor On-wheels" Bantu Aspek Psikologi Penuntut POLISAS

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
KPT Gerakkan
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Dr Aminuddin Hassim melawat reruai pameran pada Program Industry Nexus (INDex) 2026: TVET Collaboration Hub hari ini.

PUTRAJAYA, 8 Okt (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menggerakkan pasukan Counselor on Wheels bagi memberikan sokongan psikologi kepada pelajar Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) di Pahang susulan kematian seorang penuntutnya yang dipercayai dibunuh pada Selasa lepas.

Ketua Setiausaha KPT Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata kaunselor berdaftar dan pakar berkaitan turut digerakkan bagi membantu waris mangsa serta rakan-rakan yang terkesan dengan kejadian berkenaan.

“Kita meminta rakan-rakan kita di universiti semua bahagian kaunseling dan sebagainya, pakar-pakar untuk turut bersama (beri bantuan psikologi). 

“Saya dimaklumkan bahawa Counselor on Wheels telah pun bergerak ke Kuantan untuk bertemu dengan pelajar, memberi bimbingan psikologi dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas hadir Program Industry Nexus (INDEX) 2026: TVET Collaboration Hub di sini hari ini. 

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Dr Shamsuri Abdullah.

Sementara itu, Aminuddin berkata sokongan psikologi itu penting kerana kejadian berkenaan adalah kes terpencil yang boleh memberi kesan trauma kepada pelajar lain. 

“Kita perlu melibatkan semua komuniti, kita perlu komuniti pendidikan tinggi dan juga masyarakat untuk bersama-sama dengan kita dalam hal ini.

“Sebab kita faham tekanan sekarang pun pada pelajar-pelajar yang lain, mereka mungkin trauma dengan berita-berita ini,” katanya.

Sementara itu, Shamsuri berkata pihaknya menyerahkan sepenuhnya siasatan kes kepada polis dan JPPKK sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan dan kebajikan pelajar termasuk mereka yang tinggal di luar asrama.

“Memang kita ada statistik pelajar-pelajar yang duduk (di tempat penginapan) terutamanya yang duduk dalam asrama. Yang duduk di luar pun memang ada data-data tersebut dengan kita.

“Cuma saya mengharapkan selepas ini pihak politeknik terutamanya di bahagian hal ehwal pelajar untuk lebih prihatin dengan keperluan dan juga dalam hal keselamatan anak-anak yang duduk di luar,” katanya.

Semalam, seorang penuntut POLISAS berusia 19 tahun maut dipercayai dibunuh teman lelakinya di sebuah rumah di Jalan Air Putih, Kuantan di Pahang. 

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Ashari Abu Samah dilaporkan berkata pihaknya menerima panggilan MERS 999 kira-kira 4.32 pagi daripada teman lelaki mangsa yang memaklumkan mengenai kejadian itu.

Ashari dilaporkan berkata mangsa ditemukan terbaring di katil dalam sebuah bilik sewa di tingkat bawah rumah itu, selain pakar forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) mendapati terdapat kesan tekanan pada bahagian leher wanita berkenaan.

-- BERNAMA