BACHOK, 8 Okt (Bernama) -- Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan merekodkan 27 kes kebakaran tanah gambut sepanjang tahun ini, termasuk beberapa kejadian di Bachok antara Februari hingga Mei lepas, yang melibatkan keluasan kawasan terbakar melebihi 100 hektar.
Timbalan Pengarah JAS Kelantan Mohamad Zamzani Ibrahim berkata keadaan itu memerlukan pemantauan berterusan terutama di kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi, dan antara kawasan yang diberikan perhatian ialah Beris Lalang, Bachok dan Mukim Apam, Pasir Mas.
“Beberapa kejadian kebakaran tanah gambut telah berlaku di Bachok yang melibatkan keluasan kawasan kebakaran melebihi 100 hektar.
“Tindakan awal masyarakat dan agensi di lapangan amat penting kerana setiap minit amat bermakna dalam mengawal kebakaran tanah gambut sebelum merebak dan menyebabkan pencemaran udara yang lebih serius,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Latihan Hands On Prosedur Tetap Operasi Program Pencegahan Kebakaran Tanah Gambut di sini, hari ini.
Mohamad Zamzani berkata sumber air adalah antara faktor kritikal bagi menyokong operasi pemadaman, justeru infrastruktur pencegahan seperti sekatan saliran dan telaga tiub perlu dipastikan berada dalam keadaan baik.
Pemilik tanah, komuniti setempat dan pihak yang menjalankan aktiviti pertanian disaran supaya tidak melakukan pembakaran terbuka kerana perbuatan ini merupakan kesalahan di bawah Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
-- BERNAMA