Daripada Vijian Paramasivam
PHNOM PENH, 8 Okt (Bernama) -- Laos akan mengharamkan eksport mineral mentah menjelang 2030, menandakan peralihan penting daripada pergantungan selama berdekad-dekad pada bijih yang tidak diproses ketika negara itu bersedia untuk menamatkan status negara kurang maju (LDC) pada November.
Menteri Perindustrian dan Perdagangan Malaithong Kommasith berkata pendekatan lama menjual mineral mentah untuk hasil cepat telah menyebabkan kekayaan mineral negara kurang dimanfaatkan, lapor Vientiane Times.
"Pada masa lalu, dasar kita adalah menggalakkan pemprosesan mineral untuk menambah nilai. Dalam amalan, bagaimanapun, industri mineral tertumpu terutamanya pada pengeksportan bahan mentah untuk menjana pendapatan dan mengurangkan kesulitan ekonomi dan kewangan.
“Ini bermakna kita tidak menggunakan sepenuhnya potensi sumber kita," kata Malaithong dalam Perhimpunan Negara pada Rabu.
Perlombongan kekal sebagai sumber pendapatan utama bagi negara terkurung daratan, yang mempunyai banyak rizab emas, tembaga, bauksit dan potasy.
Nilai pengeluaran industri perlombongan dan pemprosesan mineral mencecah kira-kira US$1.7 bilion (RM7 bilion) setakat Ogos.
Peralihan dasar utama itu menunjukkan matlamat kerajaan untuk beralih daripada penjana wang tradisional seperti pelancongan, eksport kopi, ubi kayu, elektrik dan mineral.
Malaithong berkata dorongan untuk pemprosesan domestik sudah menarik pelaburan, dengan 14 kilang beroperasi di Taman Perindustrian Potasy Asia di wilayah Khammuan, lapor Vientiane Times.
Kilang-kilang berkenaan telah melabur lebih US$730 juta (RM3 bilion) sepanjang tahun lepas dan menggaji kira-kira 2,000 warga Laos, lapor akhbar itu.
Bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa rancangan kerajaan boleh dihalang oleh kos pengangkutan yang terlalu tinggi, kekurangan kuasa dan rantaian bekalan tidak mencukupi, yang semuanya boleh menghalang pelaburan langsung asing.
"Larangan ke atas eksport mineral mentah berkemungkinan mencetuskan kekurangan hasil secara tiba-tiba, menjejaskan suasanan pelaburan yang lebih luas dan berpotensi mendedahkan negara kepada tindakan undang-undang pelabur yang berkos tinggi," kata Malaithong.
-- BERNAMA