Am 07/10/2026 11:35 AM

80 Peratus Ruang Sunway Ipoh Mall Telah Disewa Menjelang Pembukaan 2027

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
80 Peratus Ruang Sunway Ipoh Mall Telah Disewa Menjelang Pembukaan 2027

PETALING JAYA, 7 Okt (Bernama) -- Sunway Ipoh Mall telah memperoleh penyewa bagi 80 peratus ruang peruncitannya menjelang pembukaan yang dijadualkan pada suku keempat 2027, dengan 25 jenama dan konsep utama diperkenalkan bagi pembangunan bernilai RM1 bilion itu.

Pengarah Urusan Kumpulan Sunway Malls HC Chan berkata komitmen sewaan yang kukuh itu mencerminkan permintaan terhadap ruang peruncitan berkualiti bertaraf Tier 1 di Perak, yang menurutnya masih belum dipenuhi.

“Kami yakin dengan potensi Sunway Ipoh Mall, khususnya berdasarkan prestasi jualan di Sunway Carnival Mall.

“Sebagai gambaran, jualan Sunway Carnival Mall pada 2026 mencatat prestasi jualan yang lebih baik bagi setiap meter persegi berbanding Sunway Pyramid. Itu memberi gambaran tentang keyakinan kami terhadap prestasi Sunway Ipoh Mall,” katanya kepada pemberita pada acara Sunway Ipoh Mall Key Tenant Unveiling di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre di sini semalam.

Chan berkata Perak belum mempunyai pusat beli-belah bertaraf Tier 1 yang memenuhi keperluan penduduk tempatan, manakala kajian pasaran menunjukkan ramai penduduk negeri itu pergi ke Lembah Klang dan Kuala Lumpur untuk membeli-belah.

“Perak masih belum mempunyai pusat beli-belah bertaraf Tier 1 untuk memenuhi keperluan penduduknya. Berdasarkan kajian pasaran kami, ramai penduduk Perak cenderung ke Lembah Klang atau Kuala Lumpur untuk membeli-belah. Sunway mahu memenuhi keperluan komuniti,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu optimis pusat beli-belah berkenaan akan mencapai kadar penghunian penuh menjelang pembukaannya.

Sunway Ipoh Mall yang terletak di dalam kawasan Sunway City Ipoh akan mempunyai keluasan boleh disewa bersih (NLA) seluas 1.2 juta kaki persegi yang merangkumi empat tingkat ruang perniagaan serta menempatkan kira-kira 400 kedai.

Daripada 25 jenama yang diperkenalkan, tujuh merupakan penyewa utama, manakala sembilan daripadanya akan membuat debut di Perak.

Penyewa utama ialah Parkson Elite, Village Grocer, TGV Cinemas, Mr D.I.Y. Plus, Sunway Ice Rink, Sunway Ipoh Exhibition Centre dan Sunway Megalanes.

Jenama lain yang akan dibuka di pusat beli-belah itu termasuk MUJI, LC Waikiki, TopTen10, Brands Outlet, Decathlon, Estée Lauder Companies, Harvey Norman, HOOGA, JD Sports, L’Oréal Group, MAP Active, Neonest, Padini, Panda Eyes, Popular, The Parenthood, Valiram Group dan UNIQLO.

Chan berkata Sunway Ipoh Mall akan memenuhi keperluan kawasan yang menjadi tumpuan kira-kira 2.5 juta penduduk di seluruh Perak, berbanding kira-kira satu juta penduduk bagi Sunway Carnival Mall di Seberang Perai, Pulau Pinang.

Pembangunan itu akan menampilkan gelanggang luncur ais pertama di Perak, pusat boling dengan 36 lorong, kemudahan sukan pelbagai guna, pusat pameran serta pawagam dengan 10 dewan dan kira-kira 1,500 tempat duduk.

Ia turut menampilkan Gourmet Garden yang merangkumi ruang makan dalam dan luar bangunan, manakala sebanyak 2,950 ruang parkir, termasuk 100 petak pengecasan kenderaan elektrik (EV) akan disediakan.

Chan berkata perbincangan juga sedang dijalankan berhubung penyediaan perkhidmatan pengangkutan awam dan perkhidmatan ulang-alik khusus bagi meningkatkan kesalinghubungan ke pusat beli-belah berkenaan.

Sunway Ipoh Mall merupakan sebahagian daripada perbandaran bersepadu Sunway City Ipoh seluas 1,350 ekar, yang turut merangkumi Lost World of Tambun, The Banjaran Hotsprings Retreat, Sunway Medical Centre Ipoh dan Sunway College Ipoh.

-- BERNAMA