Ekonomi 06/10/2026 05:35 PM

Pelabuhan Johor Hampiri Sasaran Kendali 15 Juta TEU Tahun Ini

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pelabuhan Johor Hampiri Sasaran Kendali 15 Juta TEU Tahun Ini
Pengerusi Johor Port Authority (JPA)  Dr Rosnan Fathlal

Oleh Nur Faradilla Mohamad

MERSING, 6 Okt (Bernama) -- Pelabuhan Johor menghampiri sasaran mengendalikan 15 juta unit setara dua puluh kaki (TEU) tahun ini dan dijangka menembusi kelompok 10 pelabuhan kontena terbaik dunia tahun depan.

Pengerusi Lembaga Pengarah Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) Dr Rosnan Fathlal berkata sasaran itu selaras dengan hasrat Kementerian Pengangkutan untuk menempatkan dua pelabuhan negara dalam kelompok 10 terbaik dunia.

"Kita juga menjangkakan Pelabuhan Johor berada di kedudukan ke-11 tahun ini berdasarkan kepada pengendalian kontena yang menggabungkan TEU di PTP dan Pelabuhan Pasir Gudang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama di majlis perasmian dan peluncuran tukun tiruan yang dirasmikan Pegawai Daerah Mersing Jamil Hasni Abdullah di Jeti Kargo di sini hari ini.

Berhubung tukun tiruan itu, Rosnan berkata inisiatif berkenaan merupakan kesinambungan kepada tukun tiruan pertama LPJ yang dilabuhkan di Pulau Tinggi pada 30 Okt tahun lepas.

Beliau berkata pemantauan awal terhadap tukun itu menunjukkan perkembangan yang menggalakkan termasuk kehadiran populasi ikan dan pertumbuhan terumbu karang di kawasan sekitarnya.  

"Manakala, tukun tiruan 'Big Trophy' berukuran kira-kira enam meter panjang, tiga meter lebar dan tiga meter tinggi, dengan berat lebih lima tan serta struktur yang dibina menggunakan kombinasi 'hollow steel' dan konkrit ini pula akan dilabuhkan di perairan Pulau Sibu di sini, esok.

"Tukun tiruan ini turut menampilkan logo LPJ membabitkan peruntukan sebanyak RM50,000 dengan kerjasama Nautika Marine Engineering," katanya.

Dalam pada itu, Rosnan berkata LPJ merancang untuk bekerjasama dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) tahun depan bagi menjalankan kajian berkaitan pemuliharaan penyu, memantau terumbu tiruan sedia ada serta menilai kesannya terhadap peningkatan populasi spesies di perairan Johor.

-- BERNAMA