Am 04/10/2026 09:22 PM

LTdL 2026: Lennart Rangkul Gelaran Berganda Pada Saingan Berakhir Di Putrajaya

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
LTdL 2026: Lennart Rangkul Gelaran Berganda Pada Saingan Berakhir Di Putrajaya
Pelumba Tudor Pro Cycling Team, Lennart Jasch

PUTRAJAYA, 4 Okt (Bernama) -- Pelumba Jerman Lennart Jasch mencipta kejayaan berganda selepas merangkul gelaran Pendahulu Keseluruhan dan Raja Bukit pada Kejohanan Berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 yang melabuhkan tirainya hari ini.

Pelumba pasukan Tudor Pro Cycling Team berusia 26 tahun itu mempamerkan ketenangan luar biasa untuk mempertahankan Jersi Jingga sejak Peringkat Kedua selepas menakluki laluan mencabar di Gunung Jerai, dengan catatan masa keseluruhan 28 jam 57 minit 02 saat.

“Sangat gembira. Ya, satu lagi hari yang amat mencabar. Seperti yang saya katakan semalam, ia mungkin kelihatan mudah di atas kertas tetapi ia sememangnya (tidak) mudah, terutama pada kilometer terakhir.

“Jadi, ia adalah hari yang sangat sukar dan saya berterima kasih kepada pasukan serta segala sokongan yang mereka berikan kepada saya sepanjang minggu ini. Saya rasa, kami semua boleh berbangga dengan prestasi yang kami tunjukkan minggu ini,” katanya ketika ditemui selepas perlumbaan Peringkat Kelapan dari Muar ke Putrajaya hari ini.

Beliau menamatkan saingan dengan kelebihan 26 saat mengatasi pencabar terdekatnya, Abel Balderstone Roumens dari Caja Rural-Seguros RGA manakala rakan sepasukan Balderstone Jan Castellon Ribalt melengkapkan podium di tempat ketiga, yang ketinggalan 42 saat.

Sementara itu, Lennart turut menamatkan perlumbaan sebagai Raja Bukit yang tidak dicabar apabila memenangi Jersi Polka Dot selepas mengumpul 45 mata, mengatasi Petr Rikunov dari Wheeltop Rotor Chengdu Cycling Team (41 mata) dan Castellon (26 mata).

Lennart ketika mengimbas kejayaan meraih gelaran Pendahulu Keseluruhan ProSeries pertamanya sebagai pelumba profesional mengakui kejayaan menduduki tempat teratas podium jauh melepasi sasaran awal mereka sebelum perlumbaan, iaitu sekadar memburu kedudukan lima terbaik.

“Ya, ia sangat bermakna. Maksud saya, ini adalah gelaran Pendahulu Keseluruhan profesional pertama yang saya menangi dan ia juga kali pertama saya memenangi perlumbaan di luar Itali. Sudah tentu, ini juga kali pertama di luar Eropah. Ia sesuatu yang amat istimewa dan pastinya akan kekal dalam ingatan saya sepanjang hayat.

“Sudah tentu ia banyak mengubah keadaan. Sekurang-kurangnya, kini saya tahu bahawa saya mampu menjadi pelumba Pendahulu Keseluruhan yang baik. Maksud saya, saya sudah mengharapkan perkara ini sebelum ini tetapi saya perlu membuktikannya dan kini saya sudah mengambil langkah pertama ke arah itu,” katanya.

Dalam pada itu, Peringkat Kelapan yang juga terakhir sejauh 188.3 kilometer hari ini dimenangi pelumba Itali Matteo Malucelli dari XDS Astana Team yang mencatat masa 4 jam 05 minit 17 saat dalam penamat pecut berkumpulan untuk mengatasi Riley Pickrell dari Modern Adventure Pro Cycling dan Christiaan Van Rees dari Team Picnic PostNL.

Kejayaan Malucelli pada peringkat itu turut mengukuhkan kedudukannya untuk meraih Jersi Biru sebagai Pelumba Pecut dengan 64 mata, diikuti Pickrell (57 mata) dan Nil Gimeno Ferrer dari Equipo Kern Pharma (22 mata).

Dalam kategori Pelumba Terbaik Asia, pelumba Jepun Yuhi Todome dari Aisan Racing Team meraih Jersi Putih selepas mencatat masa keseluruhan 29 jam 04 minit 23 saat.

Tsen Ren Bao dari St George Continental Cycling Team pula muncul sebagai Pelumba Terbaik Malaysia selepas menamatkan saingan di tempat ke-25 dalam kategori Pendahulu Keseluruhan (+11:05s) dan menduduki tempat kedua dalam kedudukan pelumba Asia.

-- BERNAMA