PUTRAJAYA, 2 Okt (Bernama) -- Pengamal media yang bertugas sentiasa memahami etika kewartawanan serta menghormati nilai kemanusiaan, privasi dan sensitiviti keluarga, khususnya ketika membuat liputan dalam suasana dukacita, demikian menurut Kelab Media Putrajaya (KMP).
KMP memaklumkan kehadiran petugas media di sesuatu lokasi adalah sebahagian daripada tanggungjawab profesional untuk mendokumentasikan peristiwa penting yang mempunyai nilai kepada masyarakat dan negara.
"KMP memahami hak setiap individu untuk mengkritik namun kebebasan bersuara tidak seharusnya dijadikan alasan untuk merendahkan atau menghina petugas media.
"Sebarang teguran hendaklah dibuat berdasarkan fakta dan konteks sebenar," menurut KMP dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, KMP memandang serius tindakan satu akaun media sosial yang mengubah imej sekumpulan jurugambar dan wartawan yang menjalankan tugas membuat liputan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menziarahi pusara Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di Pusara Negara di sini semalam, menjadi imej haiwan.
Lebih mengecewakan, imej berkenaan disertakan dengan kapsyen “Akal waras semakin sukar ditemui” yang dilihat sebagai penghinaan terhadap petugas media yang sedang melaksanakan tanggungjawab profesional.
"KMP ingin menegaskan bahawa petugas media tidak menerima sebarang pemakluman rasmi mengenai sekatan atau larangan rakaman daripada pejabat Dr Mahathir dan keluarga di lokasi berkenaan.
"Pengamal media yang bertugas memahami tanggungjawab mereka untuk menghormati nilai kemanusiaan, privasi dan sensitiviti keluarga, lebih-lebih lagi ketika membuat liputan dalam suasana dukacita," menurut kenyataan itu,
Sehubungan dengan itu, KMP telah membuat satu laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya tindakan sewajarnya diambil terhadap pemilik akaun berkenaan.
"KMP akan terus mempertahankan maruah, keselamatan dan hak warga media untuk menjalankan tugas secara profesional tanpa penghinaan atau serangan peribadi," menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, KMP menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Dr Siti Hasmah yang disifatkan sebagai kehilangan besar kepada keluarga, masyarakat dan negara.
"KMP turut merakamkan ucapan takziah kepada Dr Mahathir serta seluruh keluarga atas pemergian tokoh yang banyak menabur jasa kepada negara, khususnya dalam bidang kesihatan dan kebajikan masyarakat," menurut kenyataan itu.
Dr Siti Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara Isnin lepas, pada usia 100 tahun. Beliau meninggalkan tujuh anak.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Aidi Sham Mohamed ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima laporan yang dibuat KMP dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Terdahulu, pengguna media sosial mempersoalkan tindakan media dan orang ramai yang mengambil gambar Dr Mahathir ketika beliau menziarahi pusara isterinya yang disifatkan tidak wajar.
-- BERNAMA