KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa golongan muda menguasai teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan perkomputeran kuantum secara serius bagi memperkukuh pembangunan serta ekonomi negara.
Beliau berkata belia perlu bersedia meneroka disiplin ilmu baharu itu bagi memastikan kemajuan teknologi negara dapat dipandu mengikut acuan, etika serta nilai tempatan.
“Transformasi digital perlunya AI, kalau tidak kita ketinggalan dalam pembangunan, kecepatan untuk mengangkat kekuatan ekonomi.
“Saya telah sebut di Shanghai baru-baru ini ketika bersama Premier China (Li Qiang), kita mesti menguasai AI. Jika tidak, AI akan menguasai kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Forum Ekonomi Belia 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari dan Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim, Presiden Persatuan Alumni Felo Perdana Fanitsyara Kam Phon, serta Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Anwar berkata walaupun transformasi digital dan pembangunan ekonomi berteknologi tinggi menjadi satu kemestian, kemajuan tersebut tidak seharusnya mengorbankan etika, moral dan nilai kemanusiaan.
"Menggapai yang di langit, di samping itu mengakar di bumi. Maknanya new technology, new sciences, new research... tetapi jangan AI itu meleburkan nilai moral, etika dan kemanusiaan," kata beliau.
Sehubungan itu, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus memperkasa mutu pendidikan, memperkasakan penguasaan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, serta memberi ruang untuk anak muda menguasai pelbagai bahasa lain seperti Bahasa Cina, Tamil, Arab, Perancis dan Jerman.
Dalam pada itu, Anwar mengingatkan belia supaya menggunakan kebebasan berfikir secara kritis dan tidak menjadi 'alat' atau taksub kepada individu mahupun parti tertentu.
Sebaliknya, beliau mahu generasi muda taksub kepada kebenaran, keadilan, pencarian ilmu serta integriti untuk memimpin negara ke arah kejayaan.
"Saya yakin, kalau ini semangat baru, kita akan lihat negara kita memacu dengan kepantasan dan dalam tempoh 10 tahun, kita bukan kenal Malaysia hari ini, tapi kita akan lihat a new, vibrant, progressive, successful Malaysia," kata beliau.
-- BERNAMA