KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Golongan muda tidak lagi wajar dianggap sekadar “pemimpin masa hadapan”, sebaliknya perlu bangkit sebagai rakan kepimpinan yang bersama-sama mencorak hala tuju negara hari ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata cabaran dan naratif geopolitik semasa, memerlukan penglibatan proaktif generasi muda untuk bersama-sama mempertahankan martabat negara.
“Anda bukan sahaja pemimpin masa hadapan, tetapi juga pemimpin masa kini yang berkerja bersama-sama. Anak muda sekarang juga harus bersama-sama membantu dan memimpin negara,” kata beliau merasmikan Forum Ekonomi Belia 2026, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari, Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim serta Presiden Persatuan Alumni Felo Perdana Fanitsyara Kam Phon.
Anwar yang juga Menteri Kewangan, turut menitipkan peringatan kepada generasi muda agar tidak mengambil mudah soal kestabilan dan keselamatan negara dengan membiarkan sentimen kebencian serta perkauman terus mekar.
Mengambil iktibar sejarah dunia, Perdana Menteri berkata kejatuhan sesebuah tamadun sering kali berpunca daripada permusuhan sesama sendiri dan ketidakmampuan memupuk semangat kesatuan.
“Anak-anak jangan andaikan bahawa negara ini akan kekal selamat dengan membiarkan beberapa kelemahan ketara, seperti memupuk kebencian, perseteruan antara kaum, agama, wilayah, itu yang boleh membawa perpecahan dan kemusnahan,” katanya.
Sebaliknya, beliau berkata keistimewaan dan kekuatan Malaysia berpaksikan kepada kepelbagaian kaum, agama dan wilayah, bukannya terheret dengan retorik politik perkauman yang memecahbelahkan.
Sehubungan dengan itu, beliau menyeru generasi muda pelbagai kaum dan etnik di seluruh negara untuk berdiri teguh menolak sebarang bentuk adu domba.
“Saya memilih untuk menyatakan Malaysia ini hebat, kerana kita boleh kumpul dan rangkul kekuatan ini. Semua saya anggap satu kekuatan yang boleh menguatkan dan mengangkat kita,” katanya.
-- BERNAMA