PUTRAJAYA, 3 Okt (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) menggerakkan lebih 200 petugas kesihatan dalam pelbagai disiplin dan agensi bagi memastikan kesiapsiagaan perubatan serta kesihatan sempena penganjuran Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix (GP) di Malaysia 2026 berada pada tahap optimum.
Dalam catatan di laman Facebooknya hari ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata persiapan itu penting berikutan penganjuran acara berprestij di Litar Antrabangsa Sepang (SIC) berkenaan dijangka menarik hampir 150,000 penonton.
"Lebih membanggakan, penyelarasan perubatan negara yang diterajui bersama oleh Timbalan Ketua Pegawai Perubatan Malaysia Dr Sharifah Fetom Syed Ali, membuktikan bahawa pasukan kita bukan sekadar komander perubatan di litar.
"Dr Sharifah Fetom bersama-sama barisan kepimpinan perubatan KKM, turut cemerlang memainkan peranan sebagai 'diplomat perubatan' yang merapatkan jalinan kerjasama teknikal antara Malaysia dan Bahrain. Latihan bersama antara pasukan perubatan kedua-dua negara telah dilaksanakan secara intensif sejak 24 Sept bagi memastikan keserasian bertaraf antarabangsa," kata Dzulkefly.
Beliau yang meluangkan masa meninjau dan menyantuni wira tidak didendang di SIC bersempena penganjuran F1 GP Gulf Air Bahrain itu hari ini berkata di sebalik deruman enjin, terdapat dedikasi dan kerja keras tanpa henti daripada pasukan respons pantas, logistik pemindahan aeroperubatan yang didukung oleh dua aset helikopter serta pengoperasian rapi di Pusat Perubatan Litar.
Secara keseluruhan, Dzulkefly berkata operasi strategik itu menggerakkan kekuatan beratus petugas bagi memastikan kelancaran keseluruhan rantaian penjagaan bermula daripada rawatan awal di lokasi kejadian sehinggalah kepada pemindahan ke hospital rujukan.
"Tahap kesiapsiagaan ini adalah manifestasi sebenar pendekatan seluruh kerajaan dan silang agensi yang sangat luar biasa," katanya.
Beliau berkata kolaborasi besar ini bukan sahaja dijayakan oleh KKM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Tentera Udara Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, malah disokong oleh institusi pengajian tinggi dan perubatan negara antaranya Hospital Universiti Sains Malaysia, Pusat Perubatan Universiti Malaya dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
"Di peringkat rujukan akhir, Hospital Kuala Lumpur bersiap sedia sebagai tunjang utama (pusat rujukan utama), disokong penuh oleh Prince Court Medical Centre, Hospital Putrajaya, Aurelius Hospital, Institut Jantung Negara serta rangkaian hospital pakar KKM di sekitar Lembah Klang," katanya.
Dzulkefly turut merakamkan penghargaan kepada seluruh petugas perubatan, pengurusan SIC dan Litar Antarabangsa Bahrain (BIC) serta semua agensi yang terlibat dalam memastikan aspek keselamatan dan kesihatan sepanjang penganjuran perlumbaan itu.
Perlumbaan F1 GP Gulf Air Bahrain di Malaysia 2026 berlangsung di SIC dari semalam hingga Ahad, sekali gus menyaksikan litar ikonik itu menjadi lokasi sementara bagi perlumbaan berprestij berkenaan.
Pada Julai lepas, F1 mengesahkan Malaysia sebagai tuan rumah perlumbaan itu susulan persetujuan antara F1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta kerajaan Malaysia dan Bahrain.
-- BERNAMA