KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Pameran Siri MCKK 2026 yang menampilkan 49 lukisan tentang warisan Kolej Melayu Kuala Kangksar (MCKK) dan bandar diraja Kuala Kangsar, Perak, berlangsung di KL City Art Gallery di Publika bermula hari ini hingga 18 Okt.
Tunku Besar Seri Menanti Negeri Sembilan Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz yang merasmikan pameran itu bertitah koleksi berkenaan menekankan kepentingan memelihara kenangan dan sejarah yang berkaitan dengan institusi utama itu.
“Sambil mengagumi karya-karya ini, kita diberi peluang untuk melihat kembali MCKK dan Kuala Kangsar melalui tempat, pemandangan dan kenangan yang dekat di hati,” titah baginda di sini hari ini.
Baginda bertitah karya seni itu ditempah khas sebagai sebahagian daripada inisiatif Pengumpulan Dana MCKK dengan hasil kutipan itu akan membantu MCKK.
Tunku Ali turut menggalakkan bekas pelajar atau Old Boys, ibu bapa, rakan, institusi dan rakyat Malaysia untuk menyokong usaha pengumpulan dana Yayasan MCKK termasuk dengan memperoleh lukisan atau menyumbang terus kepada Dana Wakaf MCKK.
“Sama ada melalui perolehan satu lukisan, membuat sumbangan langsung kepada Dana Wakaf MCKK ataupun menyokong Yayasan dengan cara lain, setiap sumbangan dapat membantu memastikan peluang yang disediakan oleh MCKK kekal tersedia untuk generasi akan datang,” titahnya.
Sementara itu, Haron Mokhtar, pelukis di sebalik koleksi tersebut, berkata beliau ingin menyumbang kepada negara melalui bakat seninya dan mencipta karya yang akan memelihara kenangan MCKK untuk generasi masa ini dan akan datang.
“Saya seorang pelukis, saya ingin berjasa kepada negara, tetapi saya bukan orang yang ada wang, sebaliknya saya ada bakat,” katanya.
Haron, yang memulakan kerjaya sebagai pendidik dan meneruskan amalan seninya selepas bersara daripada mengajar pada 2021, berkata pameran ini menandakan pertunjukan solo kesembilan beliau dan mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan.
Koleksi berkenaan memaparkan pelbagai aspek MCKK termasuk bangunan, tradisi, aktiviti sukan, kehidupan pelajar dan kenangan yang berkait dengan sekolah itu.
Karya seni berkenaan turut merakam mercu tanda di sekitar bandar diraja Kuala Kangsar seperti Masjid Ubudiah, Masjid Ridzwaniah, Istana Iskandariah, pejabat pos era penjajahan, stesen kereta api Kuala Kangsar dan kopitiam terkenal, Yut Loy.
Kesemua lukisan ini ditempah untuk memperingati MCKK dengan hasil jualan dan jualan katalog pameran disalurkan kepada Yayasan MCKK.
-- BERNAMA