Am 30/09/2026 01:51 PM

Lelaki Cedera Ditembak Di Stesen Minyak Di Bidor

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Lelaki Cedera Ditembak Di Stesen Minyak Di Bidor
Kredit: Orang Awam

IPOH, 30 Sept (Bernama) -- Seorang lelaki tempatan cedera selepas ditembak ketika berada di sebuah stesen minyak di Bidor Sentral, Bidor, petang semalam, dalam kejadian yang videonya tular menerusi media sosial.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata dalam kejadian kira-kira 6.08 petang itu, mangsa berusia 41 tahun tiba di stesen minyak berkenaan dengan menaiki Toyota Land Cruiser berwarna putih untuk mengisi minyak.

“Akibat kejadian itu mangsa mengalami kecederaan terkena satu das tembakan pada bahagian bahu kiri, selain terdapat lima individu dalam kenderaan mangsa. 

“Kesemua individu lain tidak mengalami kecederaan. Mangsa yang merupakan penumpang kereta itu mendapatkan rawatan di Hospital Tapah sebelum dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh dan keadaannya dilaporkan stabil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Alwi berkata hasil siasatan awal mendapati sebuah Honda City berwarna hitam datang dari arah Pekan Bidor sebelum berhenti di hadapan kenderaan mangsa.

Dua lelaki kemudian keluar dari kenderaan berkenaan dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan mangsa sebelum melarikan diri.

“Pemeriksaan oleh pasukan forensik telah menemukan satu peluru 9mm Luger, empat kelongsong peluru 9mm di lokasi kejadian. 

“Selain itu, pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan mangsa turut menemukan beberapa serpihan peluru dan kesan tembakan pada bahagian kenderaan,” katanya sambil menambah siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti suspek serta motif kejadian.

Polis giat menjalankan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa lokasi berkaitan, termasuk laluan sekitar Bidor serta plaza tol yang dikenal pasti. 

“Pemeriksaan dan analisis barang kes berkaitan juga sedang dijalankan bagi membantu siasatan, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pihak polis,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

-- BERNAMA