Dunia 29/09/2026 04:24 PM

Kualiti Udara Singapura Bertambah Buruk, Semua Kawasan Catat PSI Tidak Sihat

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kualiti Udara Singapura Bertambah Buruk, Semua Kawasan Catat PSI Tidak Sihat
JOHOR BAHRU, Sept 19 -- The view around Stulang Laut, near Singapore, also appeared hazy with an Air Pollution Index (API) reading of 144, categorised as 'unhealthy', at 12:30 PM today during a photoBernama survey around Johor Bahru today.--fotoBERNAMA (2019) COPYRIGHTS RESERVED

SINGAPURA, 29 Sept (Bernama) -- Kualiti udara di seluruh Singapura bertambah buruk, dengan kesemua lima kawasan mencatatkan bacaan Indeks Piawaian Pencemar (PSI) 24 jam pada tahap tidak sihat.

Data Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menunjukkan kawasan Tengah mencatatkan bacaan PSI 24 jam tertinggi iaitu 166 setakat 11 pagi Selasa.

Kawasan Barat mencatatkan bacaan PSI 149, diikuti Timur (136), Selatan (132) dan Utara (108).

PSI 24 jam menunjukkan kualiti udara harian Singapura dan menjadi asas kepada nasihat kesihatan harian NEA. Mengikut skala PSI, kualiti udara dianggap tidak sihat apabila bacaan berkisar antara 101 hingga 200, sangat tidak sihat antara 201 hingga 300 dan berbahaya apabila melebihi 300.

Sementara itu, Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) dalam laporan cuaca dan jerebu hariannya memaklumkan jerebu asap rentas sempadan pada tahap sederhana dikesan meliputi beberapa bahagian Semenanjung Malaysia, Singapura dan bahagian barat laut Borneo.

Kepulan asap sederhana hingga tebal turut diperhatikan berpunca daripada kelompok titik panas yang dikesan di sebahagian besar Kalimantan serta bahagian tengah dan selatan Sumatera.

"Banyak stesen pemantauan kualiti udara di Borneo, Sumatera, Singapura dan beberapa bahagian Semenanjung Malaysia melaporkan tahap tidak sihat hingga berbahaya," menurut ASMC.

-- BERNAMA