Oleh Noor Bakhtiar Ahmad
SEPANG, 29 Sept (Bernama) -- Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) memberikan penilaian positif terhadap persiapan menghadapi Grand Prix Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain hujung minggu ini di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Pengurus Besar Persekutuan Permotoran Bahrain (BMF) Abdulaziz Al Thawadi berkata Pengarah Perlumbaan F1 FIA Rui Marques bertemu penganjur pada Isnin ketika persiapan terakhir diteruskan untuk perlumbaan 2-4 Okt.
"Beliau gembira dengan persiapan itu," kata Al Thawadi kepada Bernama di sini pada Selasa.
Al Thawadi berkata pihak Malaysia telah bekerja keras dengan hanya kira-kira 60 hari untuk mempersiapkan acara itu.
"Mereka cuba yang terbaik, walaupun mereka mempunyai (hanya) 60 hari. Banyak tekanan ke atas mereka, tetapi mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk menyediakan segala-galanya dan untuk merealisasikannya, yang sebenarnya sedang berlaku sekarang.
"Jika anda ke trek, 60 hari lepas ia tidak kelihatan seperti ini," katanya.
Al Thawadi turut memuji sokongan yang diterima di Malaysia, berkata petugas tempatan telah banyak membantu sepanjang persiapan perlumbaan.
"Penduduk di sini sangat membantu. Apa yang kami suka ialah mereka mengingatkan kami tentang budaya kami. Senyuman, salam. Mereka sangat membantu," katanya.
Beliau berkata suasana di (litar) Sepang juga dirasakan seakan-akan seperti di Bahrain, walaupun perlumbaan Grand Prix itu diadakan di luar rumah tradisinya di Sakhir.
Kedua-dua Litar Antarabangsa Sepang dan Litar Antarabangsa Bahrain direka oleh pereka litar Jerman Hermann Tilke.
“Ada tempat apabila anda berjalan di Sepang, anda boleh melihat, oh, ini kelihatan seperti (di) Bahrain.
“Jadi susun atur, beberapa perkara teknikal, anda akan lihat ia sama seperti Bahrain,” kata Al Thawadi.
Grand Prix Bahrain pada asalnya dijadualkan berlangsung di Sakhir, April lepas namun tidak diteruskan susulan konflik di Asia Barat.
-- BERNAMA