KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Sambutan Minggu Angkasa Lepas Sedunia (WSW) 2026 sepanjang Oktober ini akan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai perkembangan teknologi roket menerusi tema “Revolusi Roket”.
Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) Datuk Azlikamil Napiah berkata sambutan itu bertujuan memperkenalkan kemajuan teknologi angkasa kepada masyarakat memandangkan pengetahuan mengenai teknologi roket masih belum meluas.
“Hasrat kami, apabila masyarakat faham berkaitan teknologi, ia akan memudah cara pembangunan teknologi itu di peringkat negara kita,” katanya ketika ditemui Bernama sempena Seminar Pertukaran Pakar Dasar Angkasa ASEAN Keempat dan WSW 2026 semalam.
Azlikamil ketika mengulas mengenai peluang yang boleh dibawa oleh “Revolusi Roket” kepada ASEAN berkata kerjasama antara negara anggota berpotensi memperkukuh keupayaan teknologi serantau, termasuk menerusi pembangunan perkhidmatan pelancaran roket.
“Sekiranya bersesuaian di rantau Asia Tenggara, ia bukan sahaja mencipta lonjakan perkhidmatan baharu tetapi kami boleh merangsang dan mewujudkan syarikat-syarikat tempatan yang boleh menyumbang kepada perkhidmatan pelancaran,” katanya.
Beliau berkata walaupun program pelancaran roket melibatkan teknologi kompleks, berisiko tinggi dan memerlukan kos besar, pengalaman beberapa negara menunjukkan sektor itu berpotensi memberikan pulangan ekonomi lumayan jika dilaksanakan dengan perancangan yang betul.
Setiap tahun, dunia menyambut WSW dari 4 hingga 10 Okt dan di Malaysia, sambutan ini dikenali sebagai World Space Week: Malaysian Chapter yang diraikan sepanjang Oktober bagi menggalakkan pelaksanaan lebih banyak program yang mampu meningkatkan kesedaran serta membudayakan sains dan teknologi angkasa dalam kalangan masyarakat.
Beliau ketika mengulas mengenai matlamat sambutan WSW 2026 berkata MYSA mahu meningkatkan kefahaman masyarakat bahawa teknologi mampu membantu manusia melaksanakan pelbagai misi dan mencari penyelesaian kepada sesuatu cabaran.
“Masih terdapat masyarakat yang kurang memahami keupayaan teknologi angkasa, termasuk pencapaian manusia yang telah sampai ke bulan.
“Sebenarnya, kami mahu menanam minat generasi muda terhadap teknologi kerana inilah asas kepada kepakaran tempatan yang kami hendak bangunkan menjelang 2030,” katanya.
Usaha membangunkan bakat dalam bidang itu perlu bermula di peringkat sekolah, termasuk melalui mata pelajaran dan silibus berkaitan, sebelum diteruskan ke peringkat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta universiti.
Industri angkasa Malaysia menunjukkan pertumbuhan dengan bilangan syarikat tempatan meningkat kepada 79 syarikat pada 2023.
Sektor itu turut mencatatkan nilai terkumpul RM6 bilion setakat 2023, berbanding sasaran RM10 bilion menjelang 2030.
Selain itu, sebanyak 2,500 peluang pekerjaan baharu telah diwujudkan setakat 2023, separuh daripada sasaran 5,000 pekerjaan baharu menjelang 2030.
Pembangunan industri angkasa bukan sahaja berpotensi menyumbang kepada ekonomi Malaysia, malah membuka ruang kepada pertumbuhan ekonomi baharu di rantau Asia Tenggara.
-- BERNAMA