Dunia 19/09/2026 08:52 AM

Tata Electronics Jalin Kerjasama Dengan Kelington Malaysia Bangunkan Kilang Cip Di Gujarat

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Tata Electronics Jalin Kerjasama Dengan Kelington Malaysia Bangunkan Kilang Cip Di Gujarat
--AP Photo/Manish Swarup

HYDERABAD, 19 Sept (Bernama) -- Tata Electronics dari India menjalin kerjasama dengan syarikat perkhidmatan kejuruteraan Malaysia, Kelington Group Bhd bagi membangunkan kemudahan fabrikasi semikonduktor di negeri Gujarat.

Kerjasama itu dijangka mempercepat pembangunan kilang yang sedang dibina di Dholera, kira-kira 100 kilometer dari bandar Ahmedabad.

“Sebagai sebahagian daripada kerjasama itu, Kelington akan membantu menyediakan infrastruktur dan sistem kritikal yang diperlukan bagi pembuatan semikonduktor. 

"Kerjasama ini akan membolehkan Tata Electronics mempercepat kesiapsiagaan operasi kemudahan itu untuk pengeluaran wafer silikon,” menurut pengumuman Tata pada Jumaat sempena pameran perdagangan Semicon India 2026 di New Delhi.

Kilang berkenaan dibangunkan dengan pelaburan sebanyak US$11 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif Tata Electronics Randhir Thakur berkata kerjasama itu akan mewujudkan persekitaran pembuatan semikonduktor bertaraf dunia yang dapat menyumbang kepada aspirasi India dalam industri berkenaan, selain menyokong sasaran syarikat untuk membekalkan cip berkualiti tinggi kepada pelanggan global mengikut jadual.

“Cadangan kerjasama bagi kemudahan Tata Electronics di Dholera dirangka untuk memenuhi keperluan ketat dalam pembuatan semikonduktor. 

"Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Tata Electronics dalam projek penting ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kelington Lim Seng Chuan.

Beberapa memorandum persefahaman (MoU) dan pengumuman turut dibuat pada hari kedua pameran yang berlangsung dari 17 hingga 19 Sept itu.

Pameran perdagangan berkenaan turut menampilkan enam pavilion negara yang mewakili Jepun, Malaysia, Belanda, Singapura, Korea Selatan dan Sweden.

-- BERNAMA