JOHOR BAHRU, 18 Sept (Bernama) -- Isu-isu alam sekitar, terutamanya jerebu yang melanda kini, menyerlahkan betapa pentingnya usaha-usaha kelestarian dilaksanakan secara jangka panjang, titah Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, Seri Paduka Baginda bertitah usaha itu perlu dicerminkan dalam dasar-dasar pembangunan kerajaan serta pendidikan untuk kesedaran segenap lapisan rakyat.
Hantaran itu memaklumkan titah berkenaan dibuat selepas Raja Permaisuri Agong berkenan menerima menghadap Pengerusi Johor Sustainability Centre (JSC) Datuk Seri Utama Ir Hasni Mohammad di Istana Bukit Serene, di sini hari ini.
Pada pertemuan berkenaan, Seri Paduka Baginda telah dipersembah maklum akan perkembangan dan perancangan terkini usaha-usaha kelestarian yang didukung JSC melalui kerjasama dengan pelbagai pihak sektor awam dan swasta.
Yang turut hadir pada sesi menghadap itu ialah Pengerusi PUSPANITA Cawangan Johor Datin Siti Azizah Omar, Ketua Pegawai Eksekutif JSC Syed Norul Shahril dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor Hishamuddin Abd Rahim.
-- BERNAMA