Am 15/09/2026 01:00 PM

Polis Sahkan Rangka Ditemukan Dalam Tong Ialah Tulang Manusia

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Polis Sahkan Rangka Ditemukan Dalam Tong Ialah Tulang Manusia

ALOR GAJAH, 15 Sept (Bernama) -- Polis mengesahkan rangka yang ditemukan di dalam sebuah tong berhampiran kawasan rizab Empangan Durian Tunggal, Machap, di sini pada Ahad lepas, ialah tulang manusia.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata kes berkenaan kini diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Setakat ini, tiada perkembangan lanjut. Tulang yang dijumpai telah disahkan merupakan tulang manusia dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Buat masa ini, kita masih belum dapat mengesahkan jantina mangsa dan proses bedah siasat bersambung hari ini bagi mengenal pasti identiti dan jantina mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata turut ditemukan bersama-sama rangka itu ialah kain pelekat berwarna biru, kemeja-T dan seluar pendek.

Dalam kejadian pada Ahad lepas, sebuah tong berwarna biru dipercayai berisi rangka manusia ditemukan tiga individu berusia 25 hingga 35 tahun ketika memancing di kolam takungan berkenaan kira-kira 11.40 pagi.

-- BERNAMA