Ekonomi 15/09/2026 12:11 PM

Butterfield FB Mula Disenaraikan Di Pasaran ACE, Dibuka Lima Sen Di Bawah Harga IPO

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Butterfield FB Mula Disenaraikan Di Pasaran ACE, Dibuka Lima Sen Di Bawah Harga IPO
Kredit: Butterfield FB Bhd

KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- Butterfield FB Bhd yang mula disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini dibuka lima sen di bawah harga tawaran awam permulaannya (IPO).

Pengeluar campuran serbuk ekstrak kopi dan teh itu dibuka pada 43 sen, iaitu 10.4 peratus lebih rendah daripada harga IPO sebanyak 48 sen, dengan 5.27 juta saham diniagakan.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Lee Mong Khai berkata pergerakan harga saham boleh dipengaruhi oleh pelbagai faktor di luar kawalan kumpulan itu dan Butterfield FB akan terus memberi tumpuan kepada perancangan jangka panjangnya.

“Keutamaan kami sekarang adalah melaksanakan apa yang telah dinyatakan dalam prospektus. Kami akan bekerjasama rapat untuk mencapai perkara yang telah kami senaraikan dalam prospektus.

“Saya percaya penilaian akan diikuti pelaksanaan dan pencapaian keputusan yang baik adalah penting dalam mewujudkan nilai yang mampan untuk pemegang saham dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang media selepas majlis penyenaraian itu di sini hari ini.

Mengenai pelan untuk tempoh dua tahun akan datang, Lee berkata Butterfield FB akan memberi tumpuan kepada penggunaan sepenuhnya kapasiti yang telah diwujudkan bagi pengeluaran campuran serbuk ekstrak matcha, kopi dan teh.

Kumpulan itu turut berhasrat untuk berkembang melangkaui pasaran sedia ada di Malaysia dan Thailand, dengan negara-negara ASEAN lain dan Asia Barat antara pasaran yang sedang dipertimbangkan.

Mengenai turun naik harga bahan mentah kopi dan teh, Lee berkata kumpulan itu bekerjasama dengan pembekal dari pelbagai wilayah dan menggunakan kontrak jangka sederhana dengan pelanggan dan pembekal untuk mengurangkan impak pergerakan harga komoditi secara tiba-tiba.

“Kami mahu menawarkan harga yang stabil kepada pelanggan kami tanpa mengira apa yang berlaku dalam pasaran.

“Kami telah memperoleh pengalaman ini selama lebih 20 tahun. Saya fikir ini merupakan pengetahuan yang amat penting bagi kami tentang cara untuk terus kekal dalam pasaran ini,” katanya.

Pembukaan dagangan Butterfield FB yang lemah dicatatkan walaupun sahamnya terlebih langgan sebanyak 18.7 kali.

IPO tersebut terdiri daripada terbitan awam sebanyak 150 juta saham baharu. Langkah korporat itu berjaya meraih sebanyak RM72 juta. 

Daripada hasil tersebut, sebanyak RM37.8 juta diperuntukkan untuk modal kerja, terutamanya untuk pembelian serbuk ekstrak kopi dan teh serta bekalan lain.

Sebanyak RM15.2 juta lagi akan diperuntukkan untuk memperluas ibu pejabat kumpulan di Bukit Minyak, Pulau Pinang, termasuk menambah ruang pengeluaran dan penyimpanan serta membeli mesin baharu.

Kumpulan itu telah memperuntukkan RM13 juta untuk pelaburan strategik serta penggabungan dan pengambilalihan yang melibatkan pemilik jenama pracampuran kopi dan teh segera. Baki RM6 juta akan digunakan untuk perbelanjaan penyenaraian.

Butterfield FB turut merancang untuk mewujudkan barisan pengeluaran keempat, yang akan meningkatkan jumlah kapasiti pengeluaran tahunannya kepada 12,597 tan.

Ia kini mengendalikan dua barisan pengeluaran untuk campuran serbuk ekstrak kopi dan teh, selain barisan serbuk matcha yang memulakan operasi pada Februari.

-- BERNAMA