Am 15/09/2026 11:25 AM

Tiga Budaya Menyatu Dalam Busana Bharatanatyam

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Tiga Budaya Menyatu Dalam Busana Bharatanatyam
Gambar ihsan daripada Kamini Manikam

Oleh N. Kuvineshwaren

KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- Bermula sebagai kostum untuk sebuah produksi Bharatanatyam pada 2015, rekaan itu kini menjadi lambang identiti Malaysia dibawa ke pelbagai pentas, hasil sentuhan artis dan koreografer Kamini Manikam yang menggabungkan elemen budaya Melayu, Cina dan India dalam busana tarian klasik India berkenaan.

Kostum itu menggabungkan songket Melayu, sutera Cina dan elemen visual tradisional Bharatanatyam, sambil mengekalkan struktur serta ciri pergerakan yang diperlukan dalam tarian klasik berkenaan.

Kamini berkata rekaan itu diilhamkan sebagai Kostum Bharatanatyam Kebangsaan yang mampu mencerminkan identiti tersendiri Malaysia tanpa mengetepikan asal-usul dan prinsip seni berkenaan.

“Saya menghasilkan kostum ini pada 2015 untuk LIPSTICK Series 2: sHE, woMAN, feMALE, sebuah produksi bertemakan sosial. Ia dipersembahkan bersama gubahan asli Thillana mengenai Malaysia, rantau kita, rakyat kita dan semangat hidup bersama.

“Saya membayangkannya sebagai Kostum Bharatanatyam Kebangsaan, iaitu busana tarian klasik India yang mampu membawa identiti tersendiri Malaysia sambil terus menghormati asal-usul seni berkenaan,” katanya kepada Bernama.

Bagi bahagian blaus, Kamini menggunakan sutera Cina dengan elemen visual berinspirasikan cheongsam, manakala seluar diperbuat daripada songket bagi mencerminkan kekayaan tradisi tekstil Melayu, dengan keseluruhan rekaan kekal berteraskan estetika klasik India dan Bharatanatyam.

“Niat saya bukan untuk meletakkan tiga budaya seperti hiasan yang terpisah. Saya mahu ketiga-tiganya menyatu dalam satu tubuh yang membuat persembahan - satu tubuh, satu irama dan satu jiwa,” katanya.

Kamini berkata kostum itu perlu memenuhi tuntutan praktikal Bharatanatyam yang melibatkan pergerakan termasuk Araimandi, membongkok rendah, melutut, berpusing, melompat, pergerakan tangan yang luas serta gerak kaki bertenaga.

“Justeru, prinsip pembinaan klasik menjadi asas yang tidak boleh dikompromi. Saya mengekalkan potongan mengikut bentuk badan, kaedah jahitan dan geometri visual yang diperlukan dalam Bharatanatyam serta menggunakan tekstil Malaysia hanya pada bahagian yang berat, kekakuan dan jatuhan kainnya sesuai dengan pergerakan,” katanya.

Beliau berkata warna Jalur Gemilang digunakan sebagai palet yang menyatukan keseluruhan rekaan, dengan blaus merah mewakili pengaruh Cina dan seluar songket biru mencerminkan warisan Melayu, manakala elemen berlipat berwarna putih dan kuning serta perhiasan klasik mengekalkan identiti India.

Kostum itu kemudiannya menarik perhatian komuniti tarian klasik dan turut didokumentasikan oleh sarjana Jepun Mayuri Koga dalam kertas penyelidikan pada 2016 bertajuk Ethnicity and Nationality Regarding Indian Dance in Malaysia.

Ia kemudian ditampilkan dalam sambutan Merdeka dan turut dibawa ke luar negara termasuk dalam persembahan di India dan Jepun.

Kamini yang telah membuat lebih 400 persembahan di dalam dan luar negara berkata latar belakangnya dalam Bharatanatyam serta seni persembahan membentuk caranya melihat busana sebagai “seni yang bergerak”, selain mengakui mempersembahkan tarian dengan mengenakan kostum itu di pentas antarabangsa memberikannya rasa kebersamaan sebagai artis Malaysia.

Falsafah di sebalik kostum yang dihasilkan pada 2015 itu kemudiannya berkembang melangkaui pentas sehingga membawa kepada penciptaan Malaysian Sarong Saree, yang menggabungkan elemen visual sari India dengan unsur sarung dan batik Malaysia.

Idea itu dihidupkan semula apabila Kamini diundang mempersembahkan sebuah karya diinspirasikan daripada komuniti Chetti Melaka, yang pakaian tradisionalnya merangkumi kebaya dan sarung, manakala sari turut dipakai pada majlis-majlis istimewa.

Perkara itu mendorongnya meneliti semula lakaran terdahulu yang meneroka cara sari India boleh digabungkan dengan sarung dan batik Malaysia.

Sarong Saree meneruskan falsafah itu. Ia bukan bertujuan menggantikan sari India atau mendakwa pemilikan terhadap mana-mana budaya.

“Ia adalah satu undangan untuk membayangkan lembaran Malaysia dalam perjalanan sari yang terus berkembang, dibentuk oleh sejarah yang kita kongsi, hubungan antara budaya dan pengalaman hidup bersama sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Busana sepanjang enam meter yang diperkenalkan pada 1 Ogos lepas di Auditorium Muzium Negara bersempena dengan The Peranakan Exchange menggabungkan motif batik dan corak berirama pada bahagian utama, warna kontras pada bahagian berlipat serta motif rumit pada pallu, sekali gus menghasilkan kesan visual tersendiri ketika dipakai atau dalam pergerakan.

Kamini berkata kedua-dua hasil rekaannya itu pada asasnya didorong oleh persoalan sama mengenai identiti, iaitu bagaimana seni dan busana tradisional dapat mencerminkan bukan sahaja akar warisan, tetapi juga pengalaman hidup rakyat Malaysia yang membesar dalam persekitaran pelbagai budaya.

“Saya mahu memperagakan Malaysia secara keseluruhannya, bukan hanya satu bahagian daripada Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA