ISTANBUL, 15 Sept (Bernama-Anadolu) -- Ahli perniagaan Colombia Alex Saab, yang didakwa mempunyai hubungan rapat dengan bekas Presiden Venezuela Nicolas Maduro dijangka mengaku bersalah pada Selasa dalam kes pengubahan wang haram persekutuan di Miami, lapor Anadolu Ajansi.
Saab, 54, dijadual hadir di hadapan Hakim Mahkamah Daerah Amerika Syarikat (AS) Kathleen Williams bagi prosiding pertukaran pengakuan.
Butiran mengenai sebarang kemungkinan perjanjian pengakuan bersalah belum didedahkan, manakala peguamnya Neil Schuster enggan mengulas.
Pendakwa raya AS menuduh Saab terbabit dalam satu skim melibatkan syarikat rekaan, rekod penghantaran yang dipalsukan serta penyelewengan dana daripada kontrak kerajaan Venezuela bagi mengimport makanan dari Colombia dan Mexico.
Kes itu tertumpu pada dakwaan bahawa Saab menggunakan rangkaian syarikat untuk memperoleh kontrak kerajaan bernilai tinggi ketika Venezuela berdepan krisis ekonomi yang serius.
Saab sebelum ini mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan berkenaan pada Julai.
Dia kali pertama didakwa pihak berkuasa AS pada 2019 dan ditahan di Cape Verde pada 2020 ketika dalam perjalanan ke Iran.
Saab diekstradisi ke AS pada 2021 tetapi dibebaskan pada 2023 selepas Presiden ketika itu Joe Biden memberikan pengampunan kepadanya sebagai sebahagian daripada pertukaran tahanan yang membawa kepada pembebasan warga AS yang ditahan di Venezuela.
Saab kembali berada dalam tahanan AS pada Mei selepas Venezuela menghantarnya pulang ke AS susulan tekanan Washington.
Ia berlaku selepas operasi ketenteraan AS pada Januari yang membawa kepada penangkapan Maduro.
Perkembangan itu berlaku ketika Washington sedang menyusun semula hubungannya dengan Venezuela susulan penangkapan Maduro, dengan pentadbiran Trump memberi tumpuan lebih besar kepada sektor tenaga negara itu serta rizab minyaknya yang luas.
Jabatan Kehakiman AS berkata Saab didakwa atas pertuduhan berkomplot untuk melakukan pengubahan wang dan berdepan hukuman maksimum 20 tahun penjara persekutuan jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA-ANADOLU