Am 15/09/2026 10:47 AM

RCI TH: Bekas Pengurus Projek Pembinaan Didakwa Pecah Amanah

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
RCI TH: Bekas Pengurus Projek Pembinaan Didakwa Pecah Amanah

KOTA BHARU, 15 Sept (Bernama) -- Bekas pengurus projek pembinaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah dengan mengutip penalti berjumlah RM14,000 daripada kontraktor, melibatkan projek sebuah bangunan komersial milik Tabung Haji pada Nov 2017 dan Ogos 2018.

Mohamad Hashim Mukhatap, 53, sebagai Pengurus Pembinaan THP Timur Sdn Bhd didakwa menyalahgunakan wang berkenaan, yang merupakan hasil kutipan penalti ke atas kontraktor iaitu syarikat Kelpile Sdn Bhd dengan memasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

Ia membabitkan projek cadangan membina dan menyiapkan sebuah bangunan komersial 22 tingkat yang mengandungi pangsapuri perkhidmatan (244 unit), penthouse (empat unit), kemudahan awam, ruang perniagaan, tempat letak kereta, sub-basement (satu tingkat) dan kemudahan yang berkaitan di atas Lot 273, Seksyen 12, Kota Bharu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Sofea Residensi, Lot 10015, Seksyen 12 di sini antara 15 Nov 2017 dan 8 Ogos 2018 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mariah Omar menawarkan jaminan RM15,000, namun peguam Fahmi Abd Moin Khairuddin memohon jaminan RM5,000 dikenakan kepada anak guamnya.

Hakim Dazuki Ali membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin, selain memerintahkannya menyerahkan pasport, tidak mengganggu saksi serta melapor diri di pejabat SPRM Shah Alam setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 19 Okt depan untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA