Suasana di belakang Blok B, 1Razak Mansion di Salak Selatan di sini pada pagi Rabu itu begitu meriah.
Dari jauh sudah kedengaran bunyi gelak ketawa sekumpulan warga emas berbilang kaum yang mendiami Projek Perumahan Rakyat (PPR) itu. Tumpuan mereka adalah pada tanaman sayur-sayuran, buah-buahan serta herba yang mereka usahakan di kawasan lapang itu sejak lapan bulan lepas.
“Tengok tu, kawasan itu saya yang tanam tiga bulan lepas, dah mula tumbuh (pokok) cili... banyak pula tu,” suara teruja Siti Hanah Ahmad, 75, menyambut ketibaan penulis. Tangannya menuding pada kawasan kecil di satu sudut tapak kebun yang mereka namakan “Food Forest” tersebut.
“Seronok dapat tengok hasil tanaman kami... bukan sahaja jimat duit belanja dapur, tetapi kami turut berpeluang berkongsi kemahiran berkebun dan memasak,” celah Azni Saharin, 67 sambil menunjukkan tanaman misai kucing dengan tongkatnya.
Bagi Alice Fernandez, 64, Food forest itu bukan sahaja tempat dia dan jiran tetangga beriadah sambil merapatkan hubungan setiap pagi dan lewat petang, tetapi juga lokasi untuk mencari ketenangan.
“Ini satu cara yang bagus untuk berhubung dengan alam semula jadi dan merehatkan minda. Kalau tidak ada kebun ini, penduduk hanya akan terperap di dalam rumah tanpa melakukan apa-apa, dan itu tidak bagus untuk kesihatan mental,” katanya.
Menurut Alice, menerusi Food Forest, mereka dapat berkongsi resipi masakan kaum masing-masing dan memanfaatkan hasil kebun itu.
“Kami belajar sediakan nasi ulam yang diperkenalkan oleh jiran Melayu kami… seronok kerana belajar perkara baharu dan mengagumkan kerana kami semua amat menghargai makanan tradisional kami,” katanya.
TRANSFORMASI TAPAK
Melihat pada kesuburan tanaman di atas tapak seluas 560 kaki persegi atau bersaiz separuh gelanggang badminton itu, sukar bagi penulis untuk percaya lot tanah tersebut sebelum ini adalah tapak terbiar yang dipenuhi semak samun.
Pengerusi 1Razak Mansion Management Corporation (MC) Anthony Tan berkata sebelum kawasan itu dibersihkan dan dijadikan Food Forest, penduduk tidak berani menjejakkan kaki di lot tersebut kerana terletak berdekatan dengan dewan yang sering digunakan untuk upacara pengebumian.
“Bagi kebanyakan penduduk warga emas, pantang bagi mereka untuk datang ke sini kerana kawasan ini pernah mengadakan upacara pengebumian selain berdekatan dengan bilik sampah yang kadangkala mengeluarkan bau tidak menyenangkan.
“Namun, sejak awal tahun ini (Januari), selepas tapak ini dibersihkan dan dijadikan sebagai Food Forest, kawasan ini menjadi kebanggaan warga 1Razak Mansion dan tempat kegemaran kami untuk beriadah,” katanya kepada Bernama.
Katanya projek itu disertai oleh 60 orang penduduk 1Razak Mansion yang menanam lebih daripada 80 jenis sayur-sayuran dan herba serta pokok lain.
“Selain menghijaukan kawasan di sekitar 1Razak Mansion, kami juga berusaha mengurangkan sisa pepejal menerusi kitar semula, ‘composting’ serta usaha memelihara dan memulihara kawasan sekitar Sungai Kerayong yang bersebelahan dengan blok kediaman kami ini,” katanya.
HIDUPKAN TAPAK TERBIAR
Inisiatif Food Forest ini diterajui oleh sebuah perusahaan sosial dan pertanian regeneratif PWD Smart FarmAbility Sdn Bhd yang mengaplikasikan satu daripada inovasinya - Soil-U-tion Regenerative Ecosystem - mengubah kawasan semak samun itu menjadi sebuah kebun kecil.
Usaha itu bukan hanya memberi peluang kepada penduduk PPR tersebut bercucuk tanam, tetapi juga belajar tentang pertanian sambil membina semangat muhibah dengan jiran tetangga.
“Kebun ini (Food Forest) bukan sekadar projek kebun bandar. Kami mahu mewujudkan ekosistem lestari, di mana penduduk, khususnya warga emas dan isi rumah berpendapatan rendah, dapat menanam makanan mereka, belajar tentang kesihatan tanah, menyertai usaha memulihkan alam sekitar dan akhirnya memperoleh kemahiran yang dapat membantu mereka menjana pendapatan, atau setidak-tidaknya menambah baik kualiti kehidupan mereka,” jelas Dr Billy Tang Chee Seng, pengasas PWD Smart FarmAbility.
Usahawan berusia 60 tahun ini yang juga individu kurang upaya, berkata usaha itu bukan semata-mata tentang penanaman sayur atau penternakan ikan dalam ruang terhad di kawasan perumahan awam, tetapi bagaimana menggunakan pengeluaran makanan sebagai pemangkin untuk membina semula komuniti.
“Melalui Food Forest, kami mengangjurkan aktiviti mingguan seperti taici, zumba, kelas memasak serta perkhidmatan perubatan tradisional Cina (TCM) untuk penduduk.
“Pendekatan ini juga membantu mewujudkan sebuah komuniti yang harmoni, kerana menerusi Food Forest, penduduk saling mengenali dan mempelajari budaya masing-masing,” jelasnya.
KEBUN KOMUNITI LAIN DARIPADA YANG LAIN
Bukan seperti kebun komuniti konvensional di mana sayur ditanam untuk dituai, Tang berkata Food Forest direka bentuk berasaskan ekosistem regeneratif.
Beliau menggabungkan pengeluaran makanan dengan pemulihan tanah, biodiversiti, pendidikan berkenaan pemakanan, pengkomposan dan penyertaan masyarakat.
“Saya bukan berkebun. Berkebun ni susah. Sebaliknya saya cipta alat untuk menghubungkan manusia, alam semula jadi dan planet. Itu yang saya buat,” tegasnya.
Pendekatan ini menjadi asas kepada Soil-U-tion Regenerative Aquaponics Satellite Farm yang dibangunkan bagi menggabungkan pengeluaran makanan, pemulihan alam sekitar dan penglibatan komuniti dalam ruang bandar yang terhad, termasuk di pangsapuri dan kawasan kediaman, rumah warga emas, sekolah serta pusat kebajikan.
Konsep itu memperkenalkan satu sistem akuaponik, iaitu sisa daripada ikan tilapia dikitar semula dan dijadikan nutrien bagi tanaman sayur-sayuran yang ditanam secara menegak di bahagian atas tangki ikan.
“Dalam sistem ini, ikan tilapia yang dipelihara di dalam tangki secara semula jadi menghasilkan sisa, yang kemudiannya diuraikan oleh bakteria baik menjadi nutrien untuk diserap oleh tumbuhan yang ditanam secara menegak di bahagian atas sistem ternakan ikan.
“Apabila tumbuhan menyerap nutrien tersebut, ia turut membantu membersihkan air yang dikitar dalam sistem sebelum disalurkan semula ke tangki ikan, sekali gus membentuk satu kitaran nutrien semula jadi,” katanya.
Beliau berkata pendekatan itu menggabungkan kaedah penanaman berasaskan tanah dan tanpa tanah bagi mewujudkan sebuah ladang satelit yang lebih bersepadu serta sesuai untuk komuniti yang mempunyai kawasan tanah terhad.
KOTAK PENANAMAN
Satu lagi alat yang diperkenalkan Tang kepada penduduk 1Razak Mansion ialah kotak penanaman bersaiz kompak yang dibangunkan khusus untuk isi rumah yang mempunyai sedikit atau langsung tiada pengalaman bercucuk tanam.
Penduduk diajar cara menjaga tanah, menuai sayur tanpa mencabut keseluruhan pokok serta membiarkan pokok tumbuh semula untuk tuaian seterusnya.
Daripada terlalu bergantung pada input pertanian dari luar, Tang menggalakkan usaha membaiki biologi tanah selain mengajar penduduk memahami sendiri keadaan dan kesihatan tanah.
“Program ini tidak mengharapkan penduduk menjadi petani sepenuh masa, sebaliknya mengajar mereka kemahiran asas seperti menjaga kesihatan tanah, memantau tahap kelembapan dan pH, menuai sayur serta membolehkan tanaman tertentu tumbuh semula untuk tuaian berikutnya.
“Sumber yang terdapat di rumah seperti air basuhan beras juga boleh digunakan semula sebagai sebahagian daripada sistem penanaman, sekali gus membantu mereka memahami kaitan antara pengeluaran makanan dengan pengurangan sisa,” katanya.
pic-8
Selain pengeluaran makanan, Tang berkata pihaknya juga mendapati berlaku perubahan dalam persekitaran berhampiran selepas Food Forest diwujudkan.
Katanya dalam tempoh empat bulan, mereka melihat kehadiran lebah, di samping peningkatan burung dan cacing tanah.
“Penduduk teruja tengok lebah dan kupu-kupu berterbangan di kawasan tanaman mereka. Ini menunjukkan biodiversiti boleh berkembang dalam kawasan bandar yang padat asalkan kita wujudkan persekitaran yang sesuai,” katanya.
RUANG PEMBELAJARAN HIDUP
Tang berkata Food Forest itu turut dibangunkan sebagai ruang pendidikan dan pusat pembelajaran, khususnya untuk syarikat yang ingin mengamalkan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Malah, katanya, pelajar universiti turut dibawa menyertai rangkaian lebih luas projek komuniti yang dikendalikannya menerusi program latihan industri dalam bidang seperti pemakanan manusia dan kelestarian.
pic-9
“Daripada menempatkan pelajar dalam satu bidang atau organisasi sahaja, saya mahu mereka mengalami sendiri ‘ekosistem latihan industri’, iaitu ruang yang menemukan aspek makanan, kesihatan, alam sekitar dan pembangunan komuniti.
“Di 1Razak Mansion, penduduk sendiri menjadi sebahagian daripada proses pembelajaran itu. Mereka diajar menilai keadaan tanah, menjaga tanaman dan memahami prinsip di sebalik sistem ini, bukan sekadar diberikan peralatan dan diberitahu apa yang perlu ditanam,” katanya.
Bagi Tang, matlamat projek Food Forest bukanlah untuk menjadikan sesebuah komuniti mandiri sepenuhnya dalam pengeluaran makanan, sebaliknya membina pengetahuan dan keupayaan yang mencukupi supaya penduduk dapat bertindak apabila harga makanan sudah tidak lagi mampu ditanggung atau bekalan makanan berdepan gangguan.
“Sekurang-kurangnya, jika berlaku sesuatu, mereka masih boleh menanam makanan untuk komuniti mereka,” katanya.