Dunia 15/09/2026 09:44 AM

WHO Bakal Hentikan Bekalan Diesel Kepada Lebih 20 Hospital Di Gaza

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
WHO Bakal Hentikan Bekalan Diesel Kepada Lebih 20 Hospital Di Gaza

BANDARAYA GAZA/ISTANBUL, 14 Sept (Bernama-Anadolu) -- Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Gaza Munir al-Bursh memaklumkan pada Isnin bahawa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memutuskan untuk menghentikan bekalan diesel kepada lebih 20 hospital dan pusat kesihatan di wilayah terkepung itu berikutan kekurangan dana, lapor  Anadolu Ajansi. 

“Berikutan kekurangan bahan api dan minyak yang ketara, serta kegagalan untuk membekalkan jumlah minimum yang diperlukan bagi mengendalikan hospital dan pusat kesihatan di Semenanjung Gaza, WHO mengumumkan penggantungan bekalan diesel kepada lebih 20 hospital dan pusat kesihatan bermula 19 Sept akibat kekangan dana,” kata Bursh dalam satu kenyataan.

Beliau berkata kuantiti bahan api yang terhad yang sampai ke wilayah berkenaan hanya mencukupi untuk membolehkan kemudahan kesihatan beroperasi pada tahap minimum.

“Penghentian bekalan ini bukan sekadar bermakna generator terhenti, tetapi juga penutupan dewan bedah dan unit rawatan rapi, gangguan kepada mesin bantuan pernafasan serta stesen oksigen, sekali gus mengancam nyawa bayi dalam inkubator, pesakit dialisis, mangsa yang cedera dan mereka yang menghidap  penyakit kronik,” katanya sambil menambah krisis itu turut melumpuhkan perkhidmatan ambulans serta rantaian penyejuk bagi penyimpanan ubat-ubatan dan vaksin.

Bursh menyifatkan pemotongan bahan api dari hospital sebagai “pembunuhan senyap terhadap pesakit di katil mereka” dan menggesa WHO, negara penderma serta komuniti antarabangsa untuk memikul tanggungjawab mendesak dengan memastikan kelangsungan bekalan bahan api dan minyak dalam kuantiti yang mencukupi serta selamat.

Pengumuman itu menyusul ketika krisis kekurangan minyak dan alat ganti generator di hospital Gaza semakin meruncing, yang menyebabkan beberapa generator terhenti beroperasi, menurut kenyataan Kementerian Kesihatan pada Ahad.

Generator  merupakan sumber utama tenaga elektrik bagi hospital untuk mengendalikan jabatan penting dan peralatan perubatan berikutan terputusnya bekalan elektrik secara menyeluruh di Gaza untuk tahun ketiga berturut-turut sejak permulaan perang genosid Israel pada Oktober 2023.

Gangguan bekalan bahan api itu berpunca daripada tindakan Israel menutup pintu sempadan Kerem Shalom sejak Oktober 2023 serta pendudukan dan kawalan tentera Israel ke atas pintu sempadan Rafah antara Gaza dan Mesir sejak Mei 2024.

Sejak itu, kedua-dua pintu sempadan berkenaan hanya dibuka secara terhad untuk laluan beberapa pesakit, mangsa cedera dan penduduk yang kembali ke Gaza, serta kemasukan bantuan kemanusiaan, relief dan bantuan perubatan yang terhad.

Sejak 8 Okt 2023, lebih 73,000 rakyat Palestin terkorban dan lebih 174,000 lagi cedera, manakala kira-kira 90 peratus daripada infrastruktur di wilayah itu telah musnah.

-- BERNAMA-ANADOLU