Oleh Norhidayyu Zainal
KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Tidak semua perasaan mudah diterjemahkan melalui kata-kata, namun bagi kaunselor berdaftar K. Aahrthi, sentuhan jari dan permainan warna di atas sekeping kertas mampu menjadi medium untuk menzahirkan emosi yang terbuku.
Pendekatan itu diterjemahkan oleh wanita berusia 27 tahun ini menerusi seni pastel Nagomi dari Jepun yang dimanfaatkannya sebagai platform untuk menterjemahkan emosi khususnya bagi mereka dalam kalangan warga emas mahupun komuniti berpendapatan rendah.
Dikenali sebagai ‘Art of Hope’ atau Seni Harapan, seni yang berasaskan sentuhan itu istimewanya tidak memerlukan sesiapa pun untuk memiliki kemahiran melukis yang tinggi, sebaliknya hanya menggunakan warna untuk menghasilkan sesuatu karya sambil mengekspresikan emosi dalam suasana santai.
“Di Malaysia, terapi atau kaunseling masih dianggap sesuatu yang sukar oleh sesetengah individu. Jadi, saya menggunakan ruang ini untuk membolehkan mereka mengekspresikan emosi secara santai.
“Ia membantu mereka membuat refleksi dan memahami diri dengan lebih baik, selain membuka ruang untuk mereka lebih bersedia berkongsi perasaan dalam sesi kaunseling kelak,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Pesta Puan-Tastic di sini, baru-baru ini.
Aahrthi yang juga tenaga pengajar seni pastel Nagomi bertauliah, mula mengenali seni berkenaan menerusi sebuah bengkel sebelum mengikuti kursus selama tiga hari, menyiapkan tugasan dan memperoleh sijil pengajar bertauliah dari Jepun.
“Pada mulanya, saya fikir kaedah ini hanya untuk klien kaunseling saya tetapi kemudian menyedari pelaksanaannya dalam suasana komuniti dapat memberi manfaat kepada lebih ramai orang. Peserta awalnya ragu-ragu beritahu tidak pandai melukis, namun akhir sesi mereka mula sedar boleh menghasilkan karya seni.
“Apabila aktiviti itu memberi tumpuan kepada kesihatan mental, ada juga peserta yang memberitahu bahawa mereka dapat melihat diri sendiri daripada sudut yang tidak pernah disedari sebelum ini,” katanya sambil menambah bengkel fizikal itu kini tertumpu di sekitar Lembah Klang.
Mengendalikan usaha itu menerusi Praxis Space, beliau berkata pendekatan berasaskan komuniti berkenaan turut menjadi antara usahanya untuk menggalakkan masyarakat menterjemahkan kesedaran mengenai kesihatan mental kepada tindakan nyata.
“Masyarakat kini banyak bercakap mengenai kesihatan mental tetapi perkara paling penting ialah sama ada mereka mengambil tindakan. Penyediaan alat dan ruang untuk membincangkannya dalam suasana komuniti amat penting sebelum seseorang mendapatkan khidmat kaunseling,” katanya.
Setakat ini, lebih 100 individu terdiri daripada warga emas, kanak-kanak dan penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) telah menyertai bengkel yang dikendalikannya dengan kerjasama pelbagai pertubuhan.
Bengkel itu yang turut mendapat maklum balas positif daripada peserta lelaki, Aahrthi berkata antara cabaran untuk menjayakannya adalah untuk memastikan program berkenaan dapat disertai secara percuma atau paling tidak pun dengan bayaran minimum.
Justeru, beliau giat mengumpul dana menerusi jualan rantai kunci dan alat interaktif berkaitan kesihatan mental bagi menampung kos pembelian kelengkapan seni sekali gus membolehkan bengkel berkenaan terus ditawarkan pada kos yang rendah kepada peserta.
Aahrthi berhasrat memperluas program itu ke negeri lain sekiranya mendapat sokongan, sekali gus membuka peluang kepada lebih ramai warga emas dan komuniti terpinggir mempelajari kaedah seni berkenaan untuk mengurus serta mengekspresikan emosi mereka.
Ternyata bengkel berkenaan memberikan pengalaman tersendiri kepada setiap peserta apabila Khor Jun Yi, 28, mengakui ia membantunya berasa lebih dekat dengan diri sendiri manakala S. Shankari, 30, pula berpeluang berkongsi cerita dan mendengar kisah di sebalik karya peserta lain selain mempelajari teknik seni baharu untuk dipraktik di rumah.
“Saya sangat seronok menyertai sesi ini dan berharap dapat menyertai bengkel seperti ini lagi pada masa akan datang,” kata Shankari.
-- BERNAMA