Dunia 07/09/2026 11:10 AM

Trump Mahu Keamanan Berkekalan Di Ukraine, Bukan Sekadar Tamatkan Perang - Utusan AS Kushner

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Trump Mahu Keamanan Berkekalan Di Ukraine, Bukan Sekadar Tamatkan Perang - Utusan AS Kushner
Dalam foto yang disediakan oleh Pejabat Media Presiden Ukraine ini, Jared Kushner (tengah) dan Steve Witkoff (kanan), utusan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, bertemu dengan Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy di Istana Mariinsky di Kyiv, Ukraine, pada Ahad, 6 September 2026. (Pejabat Media Presiden Ukraine menerusi AP)

MOSCOW, 7 Sept (Bernama-Anadolu) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump bukan sekadar mahu menamatkan perang di Ukraine, malah berhasrat mewujudkan keadaan yang dapat menjamin keamanan berkekalan, kata utusan Rumah Putih Jared Kushner pada Ahad, lapor Anadolu Ajansi.

Berucap pada pertemuan dengan Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy, Kushner yang turut disertai seorang lagi utusan khas AS Steven Witkoff berkata sebarang perjanjian pada masa depan perlu mampu mencegah konflik daripada tercetus semula serta membolehkan Ukraine dibangunkan semula dan terus berkembang.

“Presiden Trump ... mahu kami menyampaikan bahawa keamanan merupakan isu yang amat sukar dan kompleks, tetapi ia satu masalah yang sangat berbaloi untuk diselesaikan.

“Bukan sekadar mencari jalan untuk menamatkan perang semasa, tetapi bagaimana kita mewujudkan keadaan dan aturan yang tepat bagi menjamin keamanan jangka panjang dan berkekalan,” kata beliau.

Sementara itu, Witkoff menyifatkan rundingan berkenaan sebagai “sangat substantif”.

“Kami berasa yakin dan bersedia untuk terus berusaha selama mana yang diperlukan,” katanya.

Zelenskyy pula berkata penting bagi Ukraine bahawa Trump kini menerajui rundingan berkenaan.

Beliau turut berkata Ukraine mahu keamanan yang “adil”.

Menurut pihak Ukraine, rundingan antara wakil AS dan Ukraine diadakan dalam dua bahagian.

Bahagian pertama berlangsung dalam kumpulan kecil, manakala bahagian kedua akan turut disertai penasihat keselamatan negara dari Britain, Perancis dan Jerman.

-- BERNAMA-ANADOLU